ADUAN RAKYAT : TANAH MENDAP DI DUN MAHARANI -Berita Harian


Johor: Jalan depan sekolah mendap

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2010/08/16

HUJAN lebat menyebabkan jalan sekitar Parit Keroma mendap.

HUJAN lebat menyebabkan jalan sekitar Parit Keroma mendap.
MUAR: Hujan lebat sejak kira-kira seminggu lalu menyebabkan beberapa jalan di sekitar Parit Keroma, Parit Amal dan Parit Unas, dekat sini, mengalami masalah mendap sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya terutama kanak-kanak.

Lebih membimbangkan apabila tebing parit dan jalan mendap sepanjang kira-kira 20 meter berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK)Parit Keroma, Jalan Temenggong Ahmad, sejak 8 Ogos lalu dan keadaan itu bukan hanya berbahaya kepada murid sekolah berkenaan, malah menjejaskan keselamatan penduduk yang melalui kawasan berkenaan

 Tinjauan Edisi Johor mendapati hampir separuh laluan berhadapan dengan pintu utama sekolah berkenaan didapati mendap dengan tebing parit turut runtuh menyebabkan ia hanya boleh dilalui oleh pejalan dan motosikal

Selain itu jambatan kecil yang terletak di tepi lokasi jalan mendap itu juga turut terdapat kesan runtuhan, selain kesan retak yang ketara di sekitar jalan raya berhampiran jambatan dan jalan yang mendap.

Keadaan tebing runtuh juga turut dikesan di hadapan rumah penduduk yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari sekolah itu dan dipercayai berlaku sejak akhir Jun lalu dan sehingga kini belum diperbaiki.

Selain itu, turut mengalami masalah mendap yang serius ialah kawasan sepanjang kira-kira 50 meter di Jalan Parit Amal Laut, menyebabkan ia laluan itu berbahaya kepada semua pengguna jalan raya.

Masalah jalan mendap di Parit Amal itu dikatakan masalah berterusan yang tiada penyelesaian sejak bertahun lalu dengan kali terakhir jalan itu mendap lagi sejak kira-kira seminggu lalu.
Sebelum ini jalan itu sudah beberapa kali dibaiki dan diturap semula tetapi ia akan kembali rosak serta mendap semula dengan lebih teruk lagi.

Seorang penduduk, Lim Ah Chee, 41, yang tinggal paling hampir dengan laluan itu, berkata masalah jalan mendap itu membahayakan penduduk yang melalui laluan itu terutama setiap kali hujan lebat berterusan.

"Jika hujan lebat berterusan beberapa hari sahaja, jalan itu akan mendap semula dan saya bimbang dengan keselamatan mereka yang melalui jalan itu terutama pada waktu malam," katanya.

Katanya, masalah jalan mendap itu sudah berulang sekurang-kurangnya tiga kali menyebabkan kajian mengenai keadaan tanah di laluan itu perlu dilakukan bagi memastikan jalan itu tidak lagi mengalami kerosakan teruk.

Masalah jalan mendap yang berulang juga turut berlaku di Jalan Parit Unas Darat apabila jalan yang baru siap dibaiki dan digunakan sejak kira-kira tiga bulan lalu, rosak semula selepas hujan lebat berterusan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim, berkata pihaknya sudah membuat laporan mengenai keadaan jalan itu termasuk di laluan di hadapan SK Parit Keroma.

"Kita sudah membuat laporan kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah mengenai keadaan beberapa jalan yang mendap di sekitar kawasan DUN Maharani terutama kawasan yang paling teruk di hadapan SK Parit Keroma, Jalan Parit Amal Laut dan Jalan Parit Unas Darat," katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Jalandepansekolahmendap/Article











0