Teringin diami rumah baru
MUAR – “Bila tengok rumah jiran cantik-cantik, hati juga teringin memiliki rumah yang sempurna dan selesa.

“Tetapi terpaksa melupakan keinginan ini kerana masalah kewangan dan tidak mungkin impian ini akan tercapai,” katanya.

Demikian luahan seorang warga emas, Tik Ahmad, 82, yang menghabiskan sisa usia emasnya di rumah kini.

Menurut Tik, rumah yang didiaminya itu adalah rumah pusaka peninggalan arwah suaminya yang meninggal dunia 20 tahun lalu.

“Rumah ini sudah mencecah usia hampir 70 tahun dan dibina sendiri oleh arwah suami menggunakan papan terpakai.

“Hampir 80 peratus rumah ini dimakan anai-anai dan strukturnya juga sudah tidak kukuh serta senget,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di 447/2 Parit Perupuk, Jalan Abdul Rahman dekat sini, semalam.
Kata Tik, keadaan rumahnya sudah usang bermungkinan akan roboh pada bila-bila masa dan tidak selamat.

Katanya, apabila hujan lebat pada waktu malam, Tik pasti akan terjaga daripada tidur kerana bimbang sekiranya rumahnya runtuh ketika sedang tidur.

Ibu kepada lapan anak ini tidak mahu menyusahkan anak-anaknya kerana mereka mempunyai komitmen terhadap keluarga masing-masing.

“Mereka sering menziarahi saya setiap hujung minggu dan mengajak saya tinggal bersama mereka.

“Saya sendiri yang tidak mahu mengikut mereka kerana lebih selesa untuk tinggal di rumah ini,” katanya.

Kebimbangannya beransur lega apabila anak kelimanya, Badarulhisham Karmani, 42, mahu menjaganya dan tinggal di rumah itu.

“Sebelum ini, saya ada membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak berjaya.

“Lebih menyedihkan apabila dimaklumkan, saya tidak layak kerana sudah terlalu berusia,” katanya.
Tik berkata, kekecewaannya itu sedikit terubat apabila Pas Kawasan Maharani bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dr Mohamad Taslim datang ke rumahnya dan bercadang akan membaik pulih rumah tersebut.

“Saya sangat gembira dan berharap impian untuk memiliki rumah yang lebih sempurna tercapai sebelum saya menutup mata,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.