SIDANG DUN NEGERI JOHOR - 21 NOVEMBER HINGGA 11 DISEMBER 2008


Sidang Dun Johor bermula …..


Pakatan Rakyat dengan penuh rasa tanggungjawab ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada Dewan Undangan Negeri Johor (DUN Johor) yang akan bersidang pada 21hb. November, 2008 dalam membahaskan Belanjawan 2009.

Saranan dikemukakan berdasarkan realiti terkini krisis ekonomi dan kewangan global, kejatuhan teruk pasaran komoditi serta kesan beberapa faktor lain terhadap ekonomi Malaysia dan Negeri Johor.

Kerajaan Negeri Johor hendaklah mampu menjangkakan ekonomi negara dan Negeri Johor akan mengalami penguncupan dalam tahun 2009. Kerajaan Negeri hendaklah bijaksana dalam mengemudi Negeri Johor bagi mengharungi badai kemelesetan ekonomi global. Kerajaan Negeri hendaklah sedar akan kemunculan cabaran ekonomi semasa dalam bentuk kenaikan kadar inflasi, kenaikan kos sara hidup, peningkatan pengangguran dan penguncupan kemasukan dana asing.

Kebanyakan negara maju sedang bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi terburuk semenjak dari setengah abad yang lalu.

Kami akan melaksanakan tugas kami bagi mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab dalam hal ini demi memastikan sumbangan para pembayar cukai dan kekayaan hasil semulajadi Negari Johor dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk rakyat dan masa depan Negeri Johor.


SENARIO EKONOMI GLOBAL, CABARAN KEPADA NEGERI JOHOR

Ekonomi global kini berdepan ancaman kemelesetan berterusan dan berpanjangan. Terdapat tanda-tanda kegagalan sistem dalam kedua-dua pasaran kewangan serta ekonomi secara keseluruhannya apabila permintaan terhadap bahan asas dan barangan siap semakin menguncup seluruh dunia.

Dalam ekonomi global, tidak dapat tidak kesan daripada krisis akan dirasakan seluruh dunia dan di dalam ekonomi berorientasikan eksport seperti Malaysia negara ini perlu melakukan persediaan bagi menghadapi cabaran mendatang.

Kini dalam suku terakhir tahun 2008 data yang ada seakan membuktikan apa yang telah dijangka pada awal tahun ini. Analisis mutakhir Malaysian Institute Economic Research (MIER) menjangkakan pembangunan akan merencat ke 3.4% pada 2009 dan kemungkinan kemelesetan sebenar berlaku tahun depan perlu difikirkan secara serius. Ini mengesahkan jangkaan para pakar ekonomi antarabangsa dan juga di rantau ini ramalan kerajaan bahawa pertumbuhan negara sebanyak 5.4% boleh dikatakan terlalu optimistik.

Malaysia sedang menghadapi inflasi tertinggi dalam masa dua dekad akibat kegagalan kerajaan menguruskan subsidi petroleum sehingga menyebabkan kenaikan kos sara hidup. Turut membimbangkan adalah aliran pengangguran dan Indeks Komposit (IK) BSKL yang menjunam di bawah aras 900 mata. Keadaan ini di ikuti pula dengan penurunan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

Kenyataan oleh pihak kerajaan menunjukkan penafian berterusan terhadap realiti dan ini akan mencetuskan rasa selamat yang palsu di kalangan rakyat yang sepatutnya kini mengambil langkah sewajarnya bagi mendepani kesukaran mendatang. Strategi begini akhirnya akan memakan diri, dan menyebabkan negara ini dan kebanyakan dari rakyatnya dalam keadaan menderita.


STRATEGI-STRATEGI BAJET 2009 PAKATAN RAKYAT (PR) JOHOR

1. Menggurangkan perbelanjaan khususnya perbelanjaan mengurus.
2. Memberikan fokus utama kepada sektor yang proaktif atau mempunyai 'kesan berganda' seperti perumahan, pendidikan, pengangkutan awam, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.
3. Meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri secara proaktif.
4. Meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat

CADANGAN PERUNTUKAN BELANJAWAN PAKATAN RAKYAT

1. Walaupun mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2007, pendapatan kerajaan dalam tahun 2007 meningkat sebanyak RM86.38 juta atau 12.5% kepada RM779.60 juta berbanding RM693.22 juta dalam tahun 2006, Pakatan Rakyat (PR) Johor menjangkakan pengurangan pendapatan akan berlaku dalam tahun 2009. Kami menjangkakan pendapatan kerajaan negeri akan menurun sebanyak 5% atau RM37.395 juta kepada RM710.505 juta berbanding jangkaan hasil Bajet 2008 (RM747.9 juta) berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dan kemelesetan ekonomi global.

2. Untuk memastikan tanggungjawab fiskal, Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan pengurangan dalam perbelanjaan mengurus kerajaan sebanyak 5% atau RM37.497 juta kepada RM712.443 juta berbanding jangkaan perbelanjaan Bajet 2007 (RM749.94 juta). Sebelum ini mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2007, perbelanjaan mengurus kerajaan meningkat sebanyak RM88.99 juta atau 13% kepada RM775.08 juta pada tahun 2007 berbanding RM686.09 juta pada tahun 2006. Peningkatan ini adalah merupakan peningkatan untuk tempoh 5 tahun berturut-turut.
Peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan dalam Bajet 2009 adalah tidak mencerminkan sikap berjimat-cermat ketika negara berhadapan dengan kesukaran ekonomi. Peningkatan dalam belanjawan kerajaan adalah tanda-tanda pembaziran dan ketidakcekapan.

3. Pakatan Rakyat (PR) Johor menjangkakan Bajet 2009 adalah juga merupakan bajet defisit sebanyak RM1.938 juta (0.27%) iaitu didalam margin defisit yang munasabah dan berpatutan. Ini adalah merupakan bajet defisit tahun kedua setelah Bajet 2008 mengalami defisit sebanyak RM2.04 juta.

4. Sektor pembinaan memiliki jaringan dalam dan luar melibatkan 150 sub-sektor dalam ekonomi - daripada pembinaan bangunan, pengeluaran material bangunan, hartanah, kredit dan kewangan, perkhidmatan perdagangan dan bahan binaan, pengubahsuaian, khidmat perundingan dan sebagainya.
5. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010), siling peruntukan perbelanjaan pembangunan yang diluluskan kepada Negeri Johor adalah 1.37 bilion. Pada tahun 2007 jumlah anggaran perbelanjaan pembangunan Bajet 2007 ialah RM175.05 juta tetapi yang diluluskan adalah RM217.07 juta. Anggaran peruntukan perbelanjaan pembangunan 2008 ialah RM175.6 juta dan Pakatan Rakyat (PR) Johor menjangkakan anggaran perbelanjaan pembangunan Bajet 2009 adalah RM200 juta. Perbelanjaan pembangunan ini perlukan disalurkan kepada sektor yang produktif atau yang mempunyai 'kesan berganda' kepada ekonomi negeri Johor seperti menyediakan infrastruktur asas seperti pembinaan jalanraya, jambatan, pusat aktiviti komuniti,pertanian, perikanan, pembinaan sekolah agama, program pembangunan insan, penyenggaraan rumah-rumah rakyat dan sebagainya.

PERUMAHAN RAKYAT 'KEPERLUAN ASASI'

1. Rumah adalah merupakan suatu keperluan asasi kepada manusia. Oleh itu dalam sektor perumahan, Pakatan Rakyat (PR) Johor bepegang kepada prinsip 'Satu Keluarga Satu Rumah'.

2. Pakatan Rakyat (PR) Johor menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran bebas setinggan dan bebas kemiskinan tegar di Johor menjelang 2010 dengan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara besar-besaran dengan melibatkan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta pemaju swasta. Setakat ini sebanyak 6,712 unit rumah PPR telah dibina. Mengikut statistik masih terdapat lebih kurang 16,000 keluarga setinggan di daerah Johor Bahru. Malangnya konsep yang digunakan hanyalah berbentuk sewaan sahaja pada kadar RM124 sebulan. Dengan kata lain rumah tersebut tidak menjadi milik mereka bahkan bila-bila masa boleh diarahkan berpindah. Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan supaya perumahan PPR ini dijual kepada penyewanya melalui pengeluaran Hakmilik Strata.

3. Memandangkan penduduk setinggan kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah yang mana sukar untuk mendapatkan kemudahan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan maka Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan supaya sistem 'Sewa-Beli' digunapakai. Sistem 'Sewa-Beli' ini mendatangkan kebaikan kepada penyewa kerana sewa yang dibayar akan dianggap sebagai ansuran bayaran rumah tanpa perlu membuat pinjaman daripada bank. Pada kerajaan pula kos pengurusan bangunan hanya perlu ditanggung sehingga bayaran ansuran rumah selesai dibayar.

4. Kerajaan hendaklah menyediakan dana bagi tujuan subsidi kos peyelenggaraan bangunan bertingkat kos rendah bilamana Perbadanan Pengurusan (Management Corporation - MC) ditubuhkan. Keperluan ini sangat mendesak kerana bayaran "service charge" yang mampu dibayar oleh pemilik adalah minima antara RM25 - RM30 sebulan. Jumlah bayaran ini tidak mencukupi untuk MC melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan seperti pembersihan kawasan gunasama, servis lif, baiki kebocoran, cat bangunan dan sebagainya.

5. JCorp dan anak syarikatnya seperti JohorLand hendaklah menerajui pembinaan rumah kos rendah bagi keperluan rakyat berpendapatan rendah. Tindakan ini adalah wajar kerana JCorp pada kebiasaannya diberikan sumber tanah pada kos paling minima oleh pihak kerajaan. Bagi pihak swasta pembinaan rumah kos rendah tidak menguntungkan kerana mereka terpaksa menanggung kos pembelian tanah yang tinggi.

6. Kerajaan Negeri hendaklah juga menyediakan perumahan yang selesa bagi golongan rakyat termiskin. Pakatan Rakyat (PR) Johor bersetuju dengan perlaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi menyediakan perumahan yang selesa bagi golongan miskin tegar. Setakat ini di Negeri Johor terdapat seramai 4,724 orang dalam kategori miskin manakala seramai 4,772 orang miskin tegar iaitu mereka yang berpendapatan kurang RM600 sebulan. Setakat ini kerajaan negeri hanya berjaya membaik pulih rumah 700 buah rumah dengan melibatkan RM5.6 juta. Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) antara agensi kerajaan yang perlu terlibat bagi memanfaatkan wang kutipan zakat berjumlah RM177 juta (2007) khususnya dalam membina dan membaik pulih rumah sediada.

7. Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan perlunya menyediakan 'Dana Pinjaman Mudah' untuk sektor pembinaan bertujuan memastikan kontraktor kecil dan sederhana tidak menghadapi masalah aliran tunai yang terhad.

8. Bagi setinggan yang disediakan kawasan penempatan semula oleh kerajaan seperti kes Kg.Baru Plentong Tengah maka kawasan penempatan semula (Bukit Dagang) hendaklah di sediakan infrastruktur asas seperti jalan serta bekalan air dan elektrik terlebih dahulu sebelum setinggan diarahkan berpindah daripada tempat tinggal mereka.

PENDIDIKAN - MELABUR DALAM MODAL INSAN

1. Pakatan Rakyat (PR) Johor akan menambah peruntukkan biasiswa pendidikan kepada mereka yang sedang melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara dalam bidang yang kritikal. Bagi mereka yang beragama Islam duit zakat (RM177 juta : 2007) akan digunakan untuk biasiswa pelajar tidak seperti amalan sekarang hanya berbentuk pinjaman sahaja.

2. Menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memperbaiki dan membina kemudahan tambahan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah dimilik negerikan beberapa tahun yang lalu.

3. Merperkasa Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dengan mewujudkan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian agama ternama dalam dan luar negara.

4. Kerajaan hendaklah meanugerahkan tanah kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau India terutama yang berbentuk persendirian supaya sekolah-sekolah tersebut mempuyai keluasan tapak sekolah yang mencukupi disamping dapat mengusahakan tanah tersebut dengan pertanian yang akhirnya akan menjana sumber pendapatan yang berterusan kepada sekolah-sekolah tersebut. Perkara ini telah dilaksanakan dinegeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat (PR). Sebagai contoh Kerajaan Perak telah meluluskan pemberian tanah seluas 1,000 hektar (2,471 ekar) kepada 9 buah sekolah persendirian Cina dan 1,000 hektar (2,471 ekar) kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) untuk tanaman kelapa sawit.

5. Berdasarkan kepada peningkatan masalah sosial khususnya dikalangan belia dan remaja seperti Pengkid, sumbang mahram, pembuangan bayi, pengambilan dadah, rogol dan pondan yang berlaku di Negeri Johor maka Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan agar peruntukkan khas disediakan bagi merangka program mendekati golongan sasaran bagi mengembalikan mereka ke pangkal jalan.

6. Kami percaya pelaburan yang lebih tinggi untuk R&D tempatan akan merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menghasilkan kumpulan profesional dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkhidmat di pasaran tempatan dan global. Perbelanjaan R&D ini perlu dihubungkan dengan sistem universiti tempatan bagi meningkatkan kualiti penyelidikan dalam sistem universiti dan membina kemampuan tempatan dalam inovasi dan keusahawanan.

MENINGKATKAN KUALITI KESIHATAN & ALAM SEKITAR

1. Kerajaan melalui Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan JCorp hendaklah menyediakan kemudahan perubatan am dan pusat-pusat rawatan dialisis. Klinik Wakaf, Hospital Wakaf dan Pusat Dialisis perlu ditambah.

2. Kewujudan bangunan terbengkalai bukan sahaja menyakitkan mata tetapi menjadi sumber penyakit dan gejala sosial. Contoh bangunan terbengkalai adalah seperti Waterfront City (Lot 1), Kemayan City, Pacific Mall dan Skudai Plaza. Satu Jawatankuasa Khas hendaklah ditubuhkan bagi mengenalpsati punca projek tersebut terbengkalai dan juga kaedah mengatasinya.

3. Kerajaan hendaklah menggalakkan penggunaan NGV bukan sahaja untuk penjimatan kos perjalanan tetapi juga penggunaan NGV adalah mesra alam. Stesyen NGV diperlu diperbanyakkan.

4. Mengkaji semula kontrak penswastaan Southern Waste Management (SWM) kerana banyak rungutan diterima menyatakan bahawa SWM tidak memunggut sampah mengikut masa yang dijadualkan. Akibatnya berlakulah pencemaran bau dan sumber penyakit.

5. Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) hendaklah melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan kemudahan awam seperti taman permainan kanak-kanak dan Dewan Serbaguna dengan lebih berkesan.

6. Kewujudan tempatan pembuangan sampah haram perlu dikawal dengan meningkatkan penguatkuasaan kerana kewujudannya akan mengundang pelbagai masalah.

MENINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM

1. Pakatan Rakyat (PR) Johor menganggap infrastruktur pengangkutan awam merupakan kepentingan untuk pelaburan serta suatu penambahbaikan utama dalam meningkatkan kualiti hidup di bandaraya-bandaraya. Pakatan Rakyat (PR) Johor akan meningkatkan kualiti infrastruktur pengangkutan Negari Johor dengan mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan sektor berkenaan dan menjimatkan kos dengan mempastikan tender terbuka bagi kesemua projek infrastruktur.

2. Hampir separuh atau 1.4 juta daripada populasi penduduk di negeri Johor tinggal di kawasan bandar atau kawasan yang sedang membangun dengan pesat seperti Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang, Skudai dan sebagainya. Bagaimanapun, kebanyakan penduduk-penduduk di kawasan bandar atau pinggir bandar tidak dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam yang effisien, mudah diperolehi, dan mampu dibiayai. Pihak kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan sepatutnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam penyelenggaraan sistem pengangkutan awam di dalam negeri untuk memastikan semua rakyat di dalam negeri ini terutamanya di kawasan pinggir bandar dapat menikmati pengangkutan awam yang lancar dan mampu ditanggung. Antara mod pengangkutan awam yang paling banyak digunakan ialah perkhidmatan bas memandangkan bas merupakan cara pengangkutan yang paling murah jika dibandingkan dengan cara-cara pengangkutan yang lain. Walaubagaimanapun terdapat beberapa masalah yang biasa dihadapi pengguna bas awam, termasuklah :-

(1). Perjalanan bas tidak dapat mematuhi jadual yang tetap.

(2). Pengusaha-pengusaha bas kurang berminat untuk memasuki kawasan perumahan tertentu atau pun kawasan perumahan yang baru di mana jumlah penumpang yang berpotensi tidak mendatangkan keuntungan.

Oleh yang demikian pihak kerajaan tidak seharusnya mengamalkan sikap lepas tangan dalam perkara ini. Sebaliknya pihak Pakatan Rakyat berpendapat bahawa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan seharusnya campur tangan dalam menyelaras sistem pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas awam untuk menyediakan perkhidmatan bas awam di kawasan-kawasan yang kurang menguntungkan. Selain itu, pihak kerajaan tempatan boleh menyediakan perkhidmatan feeder-bus untuk membawa penumpang-penumpang dari kawasan-kawasan perumahan ke perhentian-perhentian bas yang utama bagi mengisi kekosongan yang mungkin wujud di antara kawasan-kawasan perumahan atau membawa penumpang dari kawasan yang kurang diminati oleh pengusaha-pengusaha bas.
Sumber : PAS Johor

Read More

AKTIVITI TERKINI


Read More

Ceramah Pakatan Rakyat



Read More