Penjelasan Terhadap Laporan Muka Hadapan Mingguan Malaysia 20 Feb 2011

by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Saturday, February 19, 2011 at 7:24pm
Penjelasan Terhadap Laporan Muka Hadapan
Mingguan Malaysia 20 Februari 2011

  1. Saya ingin merujuk kepada laporan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini 20 Februari 2011 yang meletakkan tajuk : “NIK AZIZ UBAH NADA : BIMBANG PENURUNAN SOKONGAN MASYARAKAT MELAYU TERHADAP PAS”.  Di bawah tajuk tersebut ditulis kenyataan, “Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat akhirnya mengubah nada mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan.
  2. Saya menyifatkan bahawa laporan ini merupakan satu bentuk fitnah secara sistematik denga memanipulasikan sebahagian kenyataan YAB Al-Mursyidul Am PAS demi mencapai tujuan politik murahan seperti biasa yang dimainkan oleh akhbar lidah UMNO ini. Mingguan Malaysia sekali lagi merelakan dirinya menggadai prinsip dan etika kewartawanan yang bersifat professional dan terus merendahkan martabat menjadi ejen fitnah dan propaganda murahan. Jika mengikut rekod pemberitaan Mingguan Malaysia, laporan ini akan disusuli dengan pandangan pelbagai pihak di dalam UMNO yang akan berebut-rebut ruang di dalam akhbar untuk menonjolkan pandangan dan pendapat.
  3. Sebelum pihak-pihak ini melontarkan pandangan berasaskan laporan yang kurang tepat, sukalah saya nyatakan bahawa laporan tersebut hakikatnya merujuk kepada ucapan al-Mursyidul Am PAS ketika merasmikan Konvensyen KONVENSYEN NASIONAL PENGUPAYAAN BANGSA - JAMINAN PAS yang bertempat di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 Februari 2011.
  4. Realiti yang sebenarnya ialah al-Mursyidul Am merujuk kepada tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah yang perlu diutamakan kepada orang-orang Melayu yang sudah menerima Islam terlebih dahulu sebelum bangsa-bangsa lain. Mereka perlu diberikan keutamaan untuk memahami Islam kerana jika bangsa Melayu mengamalkan Islam yang sempurna ia akan menjadi contoh tauladan kepada bangsa lain.
  5. Petikan teks ucapan beliau yang menyebut tentang perkara tersebut adalah seperti berikut : Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini. Firman Allah SWT  yang bermaksud : Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat – Surah al-Syuara’, ayat 214. Ayat ini memerintahkan agar Rasulullah SAW mengutamakan kaum keluarganya terlebih dahulu di dalam menyampaikan dakwah. Perkataan asyirah di dalam ayat ini bukanlah bermakna kaum tetapi bermakna keluarga. Dalam konteks Malaysia, kaum yang paling dominan dengan Islam ialah kaum Melayu sekalipun Islam tidak terbatas untuk bangsa Melayu sahaja.
  6. Permainan akhbar Mingguan Malaysia boleh dilihat apabila hanya melaporkan kata-kata beliau seperti berikut : "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.”
  7. Oleh yang demikian, tidak timbul soal YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz mengubah nada kerana apa yang diucapkan oleh beliau ialah dalam konteks dakwah bukan dalam konteks hak istimewa pribumi. Tambahan pula, YAB Tuan Guru sentiasa mendukung perlembagaan Malaysia yang telah menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu namun tidak menjadikan isu ini sebagai alat untuk menarik sokongan orang-orang Melayu seperti UMNO yang pada hakikatnya mengkhianati bangsa Melayu di dalam banyak perkara.
  8. Justeru, semoga pihak Mingguan Malaysia tidak mengambil kesempatan untuk memutar belitkan sebarang laporan selepas ini. Saya berharap agar kerjasama dan hubungan baik di antara pejabat Menteri Besar Kelantan dengan pihak akhbar Mingguan / Utusan Malaysia boleh diteruskan tanpa sebarang masalah.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 20 Februari 2011 / 17 Rabiul Awal 1432