SIDANG DEWAN NEGERI JOHOR - 30 SEPTEMBER 2010


Rumah PPR setanding kondominium


NUSAJAYA – Projek rumah awam Iskandar Malaysia yang dibangunkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) di Lima Kedai boleh diduduki menjelang suku pertama 2011.

Projek yang membabitkan kos RM200 juta pada tanah keluasan 60 ekar dilengkapi 1,500 rumah dengan 12 rumah kedai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, rumah awam tersebut disasarkan kepada golongan baru bekerja di Nusajaya dan keluarga muda.

“Sebanyak 1,500 rumah dengan nilai bagi setiap unit RM133,000, mempunyai tiga bilik tidur dengan keluasan lantai 1,200 kaki persegi dijamin akan memberi keselesaan kepada penghuninya.

“Harga yang ditetapkan mungkin lebih mahal berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan sebelum ini, tetapi Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa ia adalah setaraf dengan kondominium mewah,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) pada Mesyuarat Kedua bagi penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri ke-12, di sini.

Menjawab soalan tambahan Cheng Hau, Ahmad Zahri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Medan berkata, kos rumah awam tersebut agak mahal kerana faktor keluasannya yang lebih luas iaitu 10 peratus daripadanya berkeluasan 1,200 kaki persegi dan bakinya berkeluasan 900 kaki persegi, berbanding rumah PPR iaitu hanya 680 kaki persegi.

Beliau berkata, rumah awam Iskandar ini juga menggunakan teknologi IBS (Industrial Building System) iaitu konsep pasang siap bagi pembinaannya yang dilihat lebih cepat dan berkualiti.

Bagi soalan tambahan Dr Mohamad Taslim (Pas-Maharani) bagi kekosongan dan kelayakan bagi rumah tersebut, Ahmad Zahri berkata, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan.

Antaranya ialah dibuka kepada rakyat Malaysia yang berkahwin, berusia 18 hingga 60 tahun serta pendapatan isi keluarga tidak melebihi RM3,000 sebulan dan tidak memiliki dan menyewa mana-mana Rumah PPR.

Katanya, kekosongan bagi menduduki rumah tersebut akan ditentukan oleh Irda.

sumber: http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8239358.asp

0