PENUBUHAN SEKOLAH 1MALAYSIA


Penubuhan Sekolah 1Malaysia tidak perlu


SENAI- Cadangan Parti Progresif Penduduk (PPP) agar kerajaan menubuhkan Sekolah 1Malaysia yang menekankan pendidikan berkonsepkan perpaduan dan penyatuan kaum dilihat tidak diperlukan lagi.

Ketua Pemuda DAP, Tan Hong Pin berkata, perkataan 1Malaysia jangan sekadar diletakkan pada sebuah sekolah atau apa sahaja sekiranya gagal mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menyatupadukan semua kaum.

“Jangan sekadar meletak nama 1Malaysia tetapi sekiranya pelajar atau orang ramai tidak bersatu padu dan gagal memahami konsep 1Malaysia berkenaan,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan keperluan sekolah 1Malaysia kerana dilihat sebagai satu pembaziran sekiranya dilaksanakan kerana memerlukan perombakkan dan penambahan sistem dan kokurikulum yang sedia ada digunakan di sekolah.

“Apa yang lebih penting adalah perbezaan mengikut kaum, iaitu Melayu, Cina dan India perlu dihapuskan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kokurikulum yang diguna pakai pada hari ini dipertingkatkan lagi bagi memupuk semangat perpaduan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, terlalu banyak sistem pendidikan yang cuba diguna pakai bagi memupuk perpaduan kaum seperti Sekolah Wawasan.

Menurutnya, sekiranya berulang bagi penubuhan sekolah 1Malaysia ini, ia akan mengundang kecelaruan fikiran rakyat dan akhirnya membebankan generasi akan datang.

Oleh itu, beliau berasakan sistem pendidikan yang diguna pakai di sekolah rendah mahupun menengah pada hari ini perlu dimantapkan bagi menggalakkan lagi perpaduan di kalangan pelajar.

“Sistem yang sedia ada perlu diperkasakan dan bukannya menubuhkan sebuah sekolah baru yang sudah tentu menelan kos yang tinggi jika dilaksanakan kelak,” katanya.

Beliau memberitahu, perkara yang lebih penting dalam memupuk perpaduan adalah bahasa Malaysia perlu digunakan di semua sekolah termasuk sekolah venukular iaitu sekolah aliran kaum seperti sekolah Cina, India dan.

Sebelum ini, Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf berkata, melalui cadangan itu, usaha kerajaan untuk mengeratkan hubungan kaum dan bangsa di negara ini akan tercapai berdasarkan semangat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8258666.asp





0