SEKOLAH AGAMA KERAJAAN JOHOR


121 Sekolah Agama Siap Dalam Tempoh Empat Tahun
BATU PAHAT, 19 Feb 2010:
  Kerajaan negeri akan memastikan pembinaan 121 sekolah agama tambahan yang menelan belanja kira-kira RM200 juta, siap dalam tempoh empat tahun.

Gambar oleh Hairul Abu Bakar
Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani mengendalikan jengkaut sebagai simbolik pecah tanah di tapak cadangan sekolah agama Seri Gading Batu Pahat sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Sri Gading.

Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata projek pembinaan sekolah agama tambahan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat iaitu 25 buah pada setiap fasa, membabitkan kos antara RM1.6 hingga RM1.8 juta bagi sebuah sekolah.

"Johor kini memiliki 135,000 pelajar sedangkan pada masa ini kita cuma ada 500 sekolah agama di seluruh negeri.

"Menyedari kekurangan  ini, pembinaan 121 sekolah tambahan diharap dapat menyelesaikan masalah berkenaan, katanya ketika melawat tapak pembinaan sekolah agama Sri Gading, sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Sri Gading, di sini, semalam.

Katanya lagi, kerajaan akan memulakan pembinaan segera 50 sekolah agama di kawasan yang keperluannya mendesak termasuk di Sri Gading dan Parit Yaani.

Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan  program penyelenggaraan bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan yang memuaskan.

sumber: http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=853&Itemid=78

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

121 Bangunan Baru Sekolah Agama Akan Dibina PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni   
Rabu, 11 November 2009 18:45 | 303 hits
 
JOHOR BAHRU: Sebanyak 121 bangunan baru sekolah agama di negeri ini akan dibina di negeri ini untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah setiap tahun.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata sejumlah RM200 juta diperlukan untuk tujuan itu dan pembinaannya dijangka selesai dalam tempoh dua tahun.

“Langkah ini diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bangunan sekolah agama yang semakin kritikal sehingga ada guru dan pelajar yang terpaksa menumpang di bangunan sekolah kebangsaan, masjid dan juga rumah kedai.

“Kerajaan negeri sedang berusaha mencari dana untuk tujuan itu dan jika perlu akan menggunakan peruntukan kerajaan pusat untuk membina dahulu bangunan sekolah berkenaan dan membayarnya semula selepas 10 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Agama Bandar Seri Alam di Pasir Gudang, semalam.

Jelasnya lagi, untuk menaik taraf pembelajaran di sekolah agama kerajaan negeri telah membuat semakan semula terhadap kurikulum dan kandungan kitab yang digunakan sekarang untuk disesuaikan dengan tahap keupayaan murid.

Katanya, sukatan itu akan dipinda secara berperingkat dan sebagai permulaan kitab untuk murid darjah satu, dua, empat dan lima sudah mula diterbitkan sejak tahun lalu.

Abdul Ghani berkata, menjelang 2010 semua murid sekolah agama di negeri ini akan belajar dengan menggunakan sukatan pelajaran yang baru.

Menurutnya, sehingga hari ini kerajaan negeri Johor telah membina 389 sekolah agama dengan menggunakan peruntukan sendiri.

“Sistem sekolah di Johor sudah wujud hampir 100 tahun dan pada masa ini 218,000 murid dan 5,000 guru terbabit dengan sistem persekolahan itu,” katanya.

Abdul Ghani turut mengumumkan pemberian peruntukan RM350,000 untuk pembinaan surau di Sekolah Agama Bandar Seri Alam bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

__________________________________________________________________________________

Sukatan Pelajaran Baru Sekolah Agama Kerajaan Johor

Sukatan Pelajaran Baru Sekolah Agama Kerajaan Johor - Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) 2008

Sejarah perubahan Kurikulum Sekolah Agama Kerajaan Johor bermula pada tahun 1994 di mana Kerajaan Negeri pada ketika itu telah memutuskan agar tahap umur pelajar Sekolah Agama Kerajaan Johor diubah daripada tahap umur 9 tahun untuk kemasukkan ke Darjah 1 kepada tahap umur 7 tahun sebagaimana yang diamalkan di sekolah-sekolah kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor melalui Jawatankuasa Penyemak Kitab Sekolah Agama Negeri Johor telah membuat semakan semula Sukatan Pelajaran Sekolah Agama Kerajaan Johor yang sekian lama digunakan agar ianya bersesuaian dengan tahap umur murid Sekolah Agama yang akan memulakan Darjah 1 pada usia 7 tahun. Hasilnya, mulai awal tahun 2008 Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) 2008 telah diperkenalkan. Dimana pelaksanaan kurikulum tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai Permulaan, pada tahun 2008 semua murid Darjah 1 Sekolah Agama Kerajaan Johor telah mengikuti kurikulum baru. Kitab baru berdasarkan kurikulum KBSA 2008 juga telah digunakan di seluruh Sekolah Agama mulai bulan Mac 2008.

Manakala pada tahun 2009, kurikulum baru KBSA 2008 dilaksanakan pula bagi murid Darjah 2, Darjah 4 dan Darjah 5. Mulai tahun 2010 ini, kurikulum baru KBSA 2008 dilaksanakan pula untuk murid Darjah 3 dan Darjah 6.

Sesungguhnya perubahan kurikulum bagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor ini merupakan satu tindakan yang bertujuan meningkatkan tahap pembelajaran serta memastikan semua kanak-kanak yang berusia 7 tahun sudah dapat memulakan persekolahan di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor sebagaimana yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Implikasi kewangan yang cukup besar terpaksa ditanggung oleh pihak Kerajaan Negeri di dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti bilik darjah dan bangunan tambahan sekolah serta bilangan guru bagi menjayakan hasrat murni ini.

Namun tidak dinafikan bahawa perubahan ini juga telah melibatkan perubahan kepada penggunaan kitab-kitab baru bagi memenuhi KBSA 2008 yang terpaksa ditanggung oleh pihak ibubapa. Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah memperuntukkan sejumlah RM 2.0 juta untuk membiayai Skim Pinjaman Kitab (SPK) Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Di mana melalui SPK ini para pelajar dari golongan miskin akan diberi pinjaman kitab setiap tahun.

Sesungguhnya perubahan kurikulum yang dilakukan ini diharapkan isi kandungannya dapat difahami dengan lebih mudah sesuai dengan peringkat umur pelajar.

sumber: http://www.1endau.net/utama.htm






0