SOALAN TAMBAHAN ADUN MAHARANI DALAM DEWAN NEGERI JOHOR 15 NOVEMBER 2010



 YB Dato' Zainal Abidin (Pengerusi Jawatankuasa Agama) bersama
YB Dr Mohammad Taslim keluar dari Dewan Negeri.

SOALAN LISAN YB PUAN HAMIMAH BINTI MANSOR (PENAWAR):

Dengan kenaikan gaji dan elaun Imam, adakah pihak kerajaan melihat kembali syarat-syarat pelantikan dan bidang tugas agar tidak terjadi perebutan jawatan dan perpecahan masyarakat?

YB Pengerusi Jawatankuasa Agama: Yang Berhormat Dato' Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini dengan kenaikan elaun bulanan Imam daripada RM450.00 kepada RM750.00 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2011, seramai 2,404 orang Imam (dalam Negeri Johor)  menerima faedah daripada kenaikan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta sebulan.

YB Dato' Speaker, bagi melahirkan Imam yang berkualiti dan sahsiah yang baik , Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor telah menyediakan syarat-syarat perlsntikan Imam  yang bertugas di masjid dan surau.Di antara penekanan yang diambil oleh kerajaan dalam proses perlantikan Imam adalah seperti pengetahuan asas ilmu agama , kelayakan akademik, kemahiran dan personaliti, terutamanya perlantikan Imam-Imam di masjid-masjid kerajaan.

Walau bagaimanapun, diperingkat masjid kariah, kerajaan lebih menekankan kelayakan sahsiah diri dan kemahiran di dalam bacaan  Al-Quran berbanding kelayakan akademik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat buat mas ini kerajaan merasaskan bahawa syarat-syarat perlantikan dan bidang tugas Imam-Imam masjid di Negeri Johor adalah memadai seperti mana dalam buku panduan kerja dan pelantikan pegawai masjid yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Johor. Namun demikian kerajaan bersdia mempertimbangkan untuk membuat kajian  semula khasnya berhubung kelayakan , had umur dan personaliti Imam-Imam ini, di masa akan datang.

Menjawab soalan tambahan YB Penawar, di Negeri Johor terdapat 2,404 orang Imam.Bagi tahun 2008 seramai 120 orang Imam telah ditamatkan perkhidmatan mereka, tahun 2009 seramai 109 orang dan tahun 2010 seramai 69 orang.Di antara faktor Imam-Imam ini ditamatkan tugas mereka , ada disebabkan telah melebihi had umur (sampai 65 tahun) dan berubah kualiti bacaan dalam sembahyang, faktor keuzuran fizikal, telah berpindah lokasi atau tempat kediaman mereka dan ada yang tidak melepasi standard penilaian khasnya dalam sesi pemantauan semula yang diadakan setiap tiga tahun.

SOALAN TAMBAHAN YB DR MOHAMMAD BIN TASLIM (MAHARANI) :

Yangb Berhormat Dato' Speaker, berhubung dengan kenaikan elaun Imam ini, saya difahamkan adalah Imam masjid . Adakah ini melibatkan Imam-Imam surau yang juga memberi khidmat yang sama pada masyarakat dan mengikut soalan ini, adakah benar dengan kenaikan elaun Imam ini menyebabkan perebutan jawatan dan perpecahan masyarakat? Terima kasih.


YB Pengerusi Jawatankuasa Agama : Terima kasih Ahli Yang Berhormat dari Kawasan Maharani.Elaun-elaun ini hanyalah untuk Imam-Imam di masjid-masjid kariah, dia tidak merangkumi Imam-Imam di surau. Pada soalan kedua, saya ingn  nyatakan bahawa kebanyakan sebab kita menamatkan perkhidmatan Imam_imam ini adalah disebabkan meninggal dunia, meletakkan jawatan, faktor usia dan pindah lokasi kariah mereka. Saya akui kadang-kadang adalah serba sedikit mana-mana pun bukan masjid, surau, kat mana-mana pun kadang-kadang ada pertelingkahan tapi bilangannya adalah amat kecil dibandingkan sebab-sebab yang dinyatakan tadi.Jadi Yang Berhormat tak perlu bimbanglah, kalau ada pun sdikit sangat jumlahnya.


0