MASALAH TANAH PENEROKA DUN SUNGAI BALANG, MUAR


Tuntut hasil titik peluh


MUAR - Lebih daripada 500 pengusaha tanah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang terutamanya di kawasan Kampung Sungai Pulai dan Parit Buntu, di sini, melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan cara pengagihan tanah berkenaan pada 24 Mac lalu.

Mereka mendakwa berlaku ketidaktelusan dalam :pengagihan tanah itu kerana ramai dalam kalangan pengusaha tanah berkenaan tidak berjaya memperoleh tanah terbabit.


Salah seorang pengusaha tanah, Paijalah Chuking, 60, berkata, tanah seluas 600 hektar berkenaan telah diusahakan penduduk di kawasan ini sejak 1976.

Menurutnya, pada asalnya kawasan berkenaan adalah hutan belantara, dia dan beberapa penduduk yang lain bekerja keras untuk meneroka tanah terbabit.

“Keputusan untuk mengusahakan tanah ini selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Tanah Muar pada 1976 dengan kadar bayaran sebanyak RM5.

“Bermula sebagai kawasan terbiar kami membersihkan kawasan ini dan menjadi salah satu lokasi tanaman kontan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, apabila tanah di kawasan ini kering selepas pembinaan sistem perparitan, pengusaha tanah berkenaan menanam pokok kelapa sawit.

“Selepas bertahun lama mengusahakannya, kami berjaya membangunkan tanah ini menjadi kawasan pertanian yang sangat produktif.

“Tetapi, usaha kami seperti sia-sia apabila hasil titik peluh sejak berpuluh tahun lalu dirampas orang lain,” katanya.

Paijalah berkata, ada dalam kalangan pengusaha tanah meneroka tanah berkenaan melebihi 2.5 hektar tetapi selepas pengagihan tanah yang lalu, mereka hanya memperoleh 0.4 hektar daripada tanah yang diusahakan.

“Di sinilah timbulnya ketidakpuasan hati dalam kalangan majoriti pengusaha tanah ini dan menganggap pemberian ini sangat tidak adil.

“Lebih mendukacitakan ialah apabila mendapati ramai pihak yang tidak pernah terlibat mengusahakan tanah ini mendapat bahagian tanah yang sudah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit,” katanya.

Seorang lagi pengusaha tanah terbabit, Saminah Ibrahim, 74, berkata, pengagihan tanah seluas 600 hektar di antara kawasan Sungai Balang dan Sungai Sudah itu hanya melibatkan 58 daripada 300 pengusaha tanah di Sungai Pulai sahaja yang berjaya memperoleh tanah berkenaan.

“Manakala yang selebihnya tanah ini diberikan kepada orang kampung dari kawasan yang lain.

“Kami merasakan sejak membuka kawasan yang luas ini, kami sepatutnya menerima tanah sekurang-kurangnya dua hektar dan memberikan lot tanah yang telah kami bangunkan,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka, adalah tidak patut apabila memberikan bahagian tanah yang diusahakan kepada seseorang yang tidak pernah bekerja keras membersihkan dan membangunkan kawasan ini.

“Kami sangat kesal apabila kawasan di sini sudah cantik dan mempunyai hasil tanaman yang baik, barulah pelbagai pihak hendak mengambil semua kesempatan ini,” katanya.

Shukor Taha, 63, yang juga pengusaha asal tanah terbabit juga berasa kecewa dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, banyak pihak tidak merasai kepayahan kami membangunkan kawasan tersebut secara menual tanpa sebarang peralatan canggih yang hanya bergantung dengan kapak dan parang sahaja.

“Hasil tanaman daripada tanah yang diusahakan ini menjadi punca pendapatan kepada kami penduduk di sini.

“Jadi dengan pengagihan tanah satu ekar ini pasti akan menjejaskan punca :pendapatan kerana bergantung sepenuhnya dengan hasil tanaman ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Pulai, Mohd Saufey Mohd Basri berkata, dia menggesa pihak kerajaan supaya menyemak semula cadangan berkenaan dan :mengekalkan semula lot tanah yang telah dibuka oleh pengusaha asal tanah berkenaan.

“Ini sahaja langkah terbaik untuk meredakan rasa ketidakpuasan hati pengusaha tanah di sini.

“Apa yang pasti, pengusaha tanah di sini tetap dengan keputusan mereka untuk terus mempertahankan hasil usaha yang mereka lakukan selama ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Tanah Daerah Muar berkata, tanah umum di DUN Sungai Balang berkenaan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan keutamaannya kepada penduduk tempatan yang dibuat secara undi lot.

Menurutnya, kerajaan telah menyatakan keputusan bahawa setiap orang akan menerima satu ekar tanah setiap lot bagi membolehkan lebih ramai orang ramai memiliki tanah.

“Pihak Pejabat Tanah Daerah Muar hanya melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan berhubung pengagihan tanah berkenaan.

“Pada masa yang sama, pihak kami tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah senarai kelulusan seperti mana yang diminta oleh mereka,” katanya.




sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9057519.asp
             Sinar Harian Jumaat 6 Mei 2011
__________________________________________________________________________________

Komen YB Dr Mohammad Taslim, ADUN Maharani:


Masalah tanah kerajaan di kawasan benteng dalam DUN Sg Balang Muar meliputi di antaranya di Kampong Seri Menanti dan Sungai Pulai telah berlarutan seingat  YB Dr Mohammad sejak tahun 1960an. Beberapa kumpulan masyarakat tempatan berusaha memohon tanah tersebut sejak dahulu tetapi tiada keputusan muktamad. Pihak Pejabat Tanah pula diberitakan membuat beberapa keputusan yang berubah-ubah. Ini menikmbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat tempatan yang memohon tanah tersebut.

Baru-baru ini Pejabat Tanah membuat keputusan untuk menganugerahkan tanah tersebut seluas se ekar seorang kepada lebih seribu orang pemohon yang berjaya. Mereka yang berjaya pula sebahagiannya bukan rakyat tempatan yang diragukan kelayakannya. Tanah yang dianugerahkan pula tidak diketahui kedudukannya walaupun ada yang telah membayar premium tanah.


Bagi rakyat tempatan yang mengusahakan tanah tersebut sejak puluhan tahun lalu pula tidak berpuas hati kerana sebahagian tanah yang mereka usahakan dengan penat lelah diberikan kepda orang lain yang tidak pernah mengeluarkan keringat untuk mengusahakan tanag tersebut.

Pihak Kerajaan Negeri hendaklah telus dalam menyelesaikan masalah tanah kerajaan yang telah diteroka oleh rakyat di seluruh  Negeri Johor. Senarai penerima tanah kerajaan ini hendaklah dipamerkan dan rakyat boleh membuat cadangan balas atau bantahan jika terdapat perkara-perkara yamhg meragukan dalam pengurniaan tanah tersebut. Satu garis panduan hendaklah dibuat supaya mereka yang benar-benar layak sahaja diberi keutamaan.


Masalah tanah hendaklah diselesaikan dengan telus dan transparen dan tiada campur tangan politik. Berilah tanah kepada rakyat miskin yang tidak mempunyai tanah dan bukan kepada golongan tertentu yang berkepentingan atau mempunyai kedudukan tertentu,

YB Dr Mohammad perihatin dengan masalah ini  kerana masalah tanah ini berlaku di Kampung Seri Menanti khususnya, tanah kelahiran Dr Mohammad.




0