PUISI SASTERAWAN NEGARA DATUK A.SAMAD SAID
Posted in:Satu Majlis Ceramah tentang isu PPSMI telah dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat Muar dan Ledang di Muar Traders Hotel pada hari Ahad 5 Julai 2009.
Kehadiran Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said menarik perhatian umum di atas kegigihan beliau memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu walaupun umurnya sudah 75 tahun.Sungguh mengagumkan!
Dua PUISI ini didiklamasikan oleh oleh beliau dalam majlis tersebut:
HAYATILAH......
PELUDAH BAHASA
Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.
Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.
Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.
Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya - semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.
Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.
18-19 Jun,2009. __A.SAMAD SAID
PEMIMPIN CATAKSERUKIN
Pemimpin catakserukin kenangannya rimba yang subur,
renungannya tajam dan cekal ke pelabuhan termasyhur.
Hatinya - degupan yang sentiasa menjernihi qalbu,
puncak hajat memurnikan darah wira yang lebih syahdu.
Wajib dibela nasib rakyat - diurus seadil cantik,
didengar rintih sedu mereka walau sesenyap bisik.
Wajar turut disaksi bumi dan insan akrab berdakap
di dalam sebuah negara yang dimegahi bersikap.
Diri pemimpin patut menjadi watak tunggal berdiri;
tangan dan hatinya wajib seimbang memandu kemudi.
Walau tak diperasan siapa yang berada di sisi,
wajar dipantau rakyat yang tak disedari terketepi.
Pada akhir nafas dan zaman terharum bakti pemimpin
waras diteliti tiap abjad sumbangannya yang tulen.
Tetap terdedah ghairah bakti atau hanya pesta sorak,
semuai mana benih perjuangannya subur memuncak?
Keluarga pemimpin patut ditimbang berat ringannya;
disukat papa kayanya sepanjang dia berkuasa.
Dan terus dinilai murni keruh sumbangannya yang tulen
agar terhakim adil tidaknya masa ia memimpin.
Kini kami terserempak sangat ramai wira haloba
di tengah pemimpin catakserukin yang makin bercambah.
Kami tersangat jarang menemui pemimpin yang syahdu
walaupun kemerdekaan sudah lima dekad berlalu.
15 - 24 Oktober, 2008. A. SAMAD SAID
nota: CATAKSERUKIN = cakap tak serupa bikin
Adun Anda
Y.B. DR. MOHAMMAD BIN TASLIM
ADUN MAHARANI ( PAS )
Pejabat DUN Maharani
Translator
Demi Masa
Dana Kebajikan DUN
Arkib Blog
-
▼
2009
(148)
-
▼
Julai
(15)
- DOA KESELAMATAN DARIPADA WABAK PENYAKIT-Hj Mohd Mu...
- UTUSAN MALAYSIA MOHON MAAF KEPADA YAB DATUK MENTE...
- ADUN MAHARANI BERSAMA RAKYAT DI PARIT SAKAI LAUT
- MUSLIMAT PAS MUAR BERJIHAD DI MANEK URAI
- PROGRAM ZIARAH ADUN MAHARANI
- PROGRAM KEMPEN DERMA DARAH AMAL MALAYSIA BERSAMA H...
- PILIHANRAYA MANIK URAI - UNDI PAS !
- ADUN MAHARANI PERLI YB PENGERUSI JAWATANKUASA (EXC...
- ISU ISKANDAR MALAYSIA HANGAT DI DEWAN NEGERI JOHOR
- UCAPAN MENJUNJUNG KASIH TITAH SULTAN OLEH ADUN ...
- 5 SOALAN BERTULIS ADUN MAHARANI BAGI MESYUARAT DEW...
- SOALAN-SOALAN LISAN ADUN MAHARANI DALAM PERSIDANG...
- SIDANG DEWAN NEGERI JOHOR JUN-JULAI 2009
- PUISI SASTERAWAN NEGARA DATUK A.SAMAD SAID
- PROGRAM DERMA DARAH HPSF MUAR DAN AMAL MALAYSIA DI...
-
▼
Julai
(15)
0