JCorp - TIADA MASALAH BAYAR BALIK HUTANG ?


YB DR MOHAMMAD TASLIM, ADUN MAHARANI, MENIMBULKAN SOALAN TENTANG HUTANG JCorp DALAM PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR PADA    8 SEPTEMBER 2009

 SOALAN (3):

JCORP MENERBITKAN BON BAGI MENYELESAIKAN HUTANG RM4.032 BILION DAN KERAJAAN JOHOR MENJADI PENJAMINNYA.BON AKAN DITEBUS BAYAR 2012 ADALAH RM4.376 BILION.BERDASARKAN KEUNTUNGAN TAHUNAN SEBELUM CUKAI KUMPULAN JCORP BOLEH BAYAR RM4.376 BILION? APA PENYELESAIANNYA?

JAWAPAN:

Johor Corporation telah menerbitkan bon di dalam Pelan Induk Penstruktursn Korporat (PIPK) Johor Corporation bagi menyelesaikan hutang sejumlah RM4.032 bilion di mana Kerajaan Negeri Johor menjadi penjaminnya.

Di bawah PIPK ini,terdapat 4 jenis bon yang telah diterbitkan iaitu Bon Bai' Bithaman Ajil (Guaranteed Redeemable Bond), 

Bon Bai' Bithaman Ajil (Redeemable Revolving Credit Facility) 
dan juga Perjanjian Bayaran Berjadual (Schedule Payment Agreement).

Penebusa bon-bon ini telah ditetapkan di dalam tiga siri matang di mana Johor Corporation telah berjaya menebus Bon Siri 1 yang matang pada 31 Julai 2007 berjumlah RM393.76 juta dan Siri 11 yang mayang pada 31 Julai 2009 berjumlah RM694.98 juta.Sementar itu,jumlah Bon Siri 111 yang akan matang pada 31 Julai 2012 adalah berjumlah RM3.58 bilion.

Sehingga 31 Disember 2008.jumlah keseluruhan aset nyata dan aset tidak nyata yang dimiliki Johor Corporation adalah sebanyak RM4.934 bilion sepertimana dicatatkan di dalam Laporan Tahunan Johor Corporation Berakhir 2008.Sebahagian daripada aset-aset ini telah dikenalpasti untuk dijual dan hasil penjualan dan keuntungan yang diperoleh akan disalurkan untuk membiayai bon pada tarikh matang yang akan datang.Walau bagaimanapun Johor Corportaion bercadang untuk menjual hanya sebahagian darpada aset-aset yang telah dikenal pasti ini iaitu dengan anggaran hasil jualan sebanyak RM1.0 bilion sahaja.

Penjualan sebahagian daripada aset-aset yang dimilikinya adalah perlu memandangkan pendapatan daripada operasi dan juga dividen adalah terhad kepada kegunaan untuk kos kewangan dan juga operasi.Penjualan sebahagian aset tersebut juga ialah kerana Johor Corporation berhasrat untuk membiayai semula pinjaman (Refinance) sebanyak RM2.60 bilion dengan pihak-pihak bank yang berminat untuk memberikan tawaran pinjaman yang lebih baik dari segi kadar faedah dan skim bayaran balik yang lebih fleksibel serta tempoh bayaran balik yang lebih panjang bergantung kepada kemampuan tunai Johor Corporation di masa-masa akan datang.

_______________________________________________________

DI BAWAH INI LAPORAN AKHBAR HARI INI , 8 JANUARI 2011:

Tiada masalah – JCorp




Kamaruzzaman Abu Kasim


KUALA LUMPUR 7 Jan. – Johor Corporation (JCorp) tidak mempunyai masalah untuk membayar balik hutang berjumlah RM3.6 bilion yang perlu dilunaskan pada tahun depan.
Ini kerana, syarikat konglomerat yang dimiliki oleh kerajaan negeri itu mempunyai aset boleh jual bernilai RM2 bilion tanpa menganggu gugat operasi semasanya.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kasim, setakat ini, pihaknya mampu untuk menyelesaikan 70 peratus daripada hutang berkenaan.
Beliau berkata, JCorp memiliki pelbagai aset di dalam dan luar negara termasuk bank-bank tanah dan tanah kawasan industri dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion di bawah tiga teras perniagaannya.
Kamaruzzaman berkata, melalui aset-aset berkenaan dan cara penyelesaian yang fleksibel, masalah hutang boleh ditangani tanpa perlu menjual sebarang kepentingannya dalam QSR Brands dan KFC Holdings Bhd., yang sememangnya tidak pernah dirancang untuk dijual.

Beliau berkata, JCorp juga perlu mengambil kira peranan pentingnya membangunkan Negeri Johor dan juga sumbangan kepada negara dalam apa juga tindakannya.
Kamaruzzaman memberikan jaminan akan pegangan terhadap aset penting itu selagi menguntungkan kumpulan. ‘‘Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam perniagaan pada masa akan datang.’’
Kamaruzzaman berharap dapat mengurangkan bayaran hutang antara RM1.5 bilion dan RM1 bilion supaya lembaran imbangan kumpulan kekal kukuh.
‘‘Kalau ada baki sebanyak RM1.5 bilion, paras itu dilihat masih belum cukup baik untuk JCorp. Kami sebenarnya berharap baki hutang dapat dikurangkan sehingga RM1 bilion, baru selesa sedikit,’’ ujar beliau.

Sementara itu, beliau tidak menafikan spekulasi penjualan ladang kelapa sawit milik anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd. (Kulim), anak syarikat JCorp, di Papua New Guinea.
Difahamkan nilai perniagaan Kulim di Papua New Guinea bernilai RM6 bilion dan sekiranya dijual Kulim masih berupaya memperoleh separuh daripada nilai tersebut.
Kamaruzzaman mengakui asetnya di negara tersebut telah menarik minat banyak pihak, sama ada pelabur tempatan dan asing, untuk memilikinya.
‘‘Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya kerana cadangan ini belum dimuktamadkan.
‘‘Tetapi JCorp menaruh harapan penstrukturan hutang ini dapat diputuskan pada suku pertama tahun ini,’’ katanya dalam pertemuan pertama dengan media selepas dilantik menerajui JCorp awal bulan lalu.

Sebelum dilantik memimpin JCorp, beliau merupakan Naib Presiden Kanan Kewangan dan Khidmat Korporat.
Kamaruzzaman menjelaskan, meskipun JCorp memiliki banyak anak syarikat tetapi dividen yang diperoleh tidak mencukupi untuk membayar hutang berkenaan.

Katanya, setiap tahun, JCorp secara purata menerima dividen berjumlah RM90 juta sahaja sedangkan tahap terbaik yang patut diterima adalah RM160 juta.
Kamaruzzaman berkata, penstrukturan hutang itu perlu diselesaikan segera meskipun syarikat milik Kerajaan Negeri Johor itu mempunyai tempoh sehingga tahun depan untuk menyelesaikannya.
Beliau menambah penyelesaian itu perlu untuk memudahkan JCorp menumpukan kepada usaha transformasi dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat induk kepada kumpulan anak-anak syarikatnya. JCorp kini memiliki lebih 250 anak syarikat.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman tidak menolak akan memberi penumpuan terhadap penyenaraian anak-anak syarikatnya yang berdaya saing termasuk EA Technique Malaysia Sdn. Bhd., pemilik kapal dan bot untuk industri minyak dan gas,
Pada masa sama juga menggalakkan sebarang perancangan peluasan syarikat-syarikat tersenarai awam miliknya, kata beliau.

SUMBER : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm

Utusan Malaysia Sabtu 8 Januari 2011



0