HARIAN METRO : ADUN MAHARANI ZIARAH WANITA MURUNG



Wanita murung teruk selepas kematian suami

MUAR: Selepas kehilangan bapa mereka pada 7 Januari lalu, kehidupan Mohd Anwar Md Ali, 19, dan tiga adiknya di Kampung Parit Amal Tengah, Jalan Abdul Rahman, di sini, sekali lagi diuji dengan masalah kemurungan ibu mereka.

Salamiah Abdul Majid, 42, mengalami masalah kemurungan yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), bagi menjalani rawatan sejak sebulan lalu.

Anwar berkata, ibunya mula menunjukkan tanda kemurungan selepas dua hari kematian bapa mereka. “Hubungan ibu dengan arwah bapa sangat erat dan kerana itu dia masih tidak dapat menerima kenyataan berkaitan kehilangannya.

“Lebih meninggalkan kesan, bapa meninggal dunia di pangkuan ibu selepas dia terjatuh ketika keluar bilik air akibat serangan jantung,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Anwar, setiap hari ibunya memanggil arwah bapa kerana merasakan lelaki berkenaan masih hidup.


“Tetapi apabila ibu sedar yang bapa sudah tiada, dia akan menangis dan menjadi murung. Memburukkan lagi keadaan, sikapnya juga berubah menjadi lebih sensitif serta mudah marah. “Ibu juga tidak mahu makan menyebabkan tahap kesihatannya merosot teruk,” katanya.


Menurut Anwar, disebabkan itu, keluarga mereka mengambil keputusan menghantar Salamiah ke HPSF bagi menjalani rawatan.

Katanya, sepanjang ketiadaan ibu, mereka empat beradik menumpang kasih dengan ibu saudara yang tinggal berhampiran. “Jika ada masa terluang, kami empat beradik akan menziarah ibu di HPSF kerana kami semua memang merinduinya,” katanya.

Penderitaan Anwar empat beradik itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim yang menziarahi keluarga berkenaan bagi menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 dan barangan keperluan harian.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

  12 Mac 2012

 Keratan akhbar Harian Metro


 Keratan akhbar Sinar harian

0