Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, sebaliknya Pas terus optimistik dan menjadikan kekangan tersebut sebagai batu loncatan kepada parti berkenaan untuk bekerja dengan lebih keras mencari dana untuk membantu rakyat.
Menurutnya, sokongan melalui sumbangan kewangan daripada ahli-ahli dan orang ramai adalah antara kekuatan Pas sehingga ke hari ini.
“Setiap ahli diminta untuk memantau dan mengenal pasti rakyat-rakyat yang memerlukan bantuan. Bantuan akan diberikan kepada mereka secara terus, segera, adil dan saksama tanpa mengira latar belakang agama juga kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada 35 Golongan Yang Memerlukan bagi Dun Maharani di sini, baru-baru ini.
Mohamad berkata, rakyat juga perlu bersabar kerana bantuan yang diberikan secara berperingkat. Katanya, walaupun terpaksa bertungkus lumus mencari dana, ianya bukanlah satu beban kerana adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat selepas memenangi Dun Maharani dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Rakyat perlu faham, saya tidak menerima peruntukan sebagai wakil rakyat daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM200,000 setahun.
“Oleh itu, jika rakyat mahukan projek pembangunan, mereka boleh memintanya kepada wakil pegawai khas menteri besar bagi kawasan ini,” katanya.
Katanya, sungguhpun begitu, Pas sentiasa memberikan bantuan kepada rakyat dan baru-baru ini parti berkenaan telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM12,000 bagi bantuan persekolahan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini kerana memberi tumpuan kepada masalah rakyat.
“Sebagai contoh, masalah jalan di Kampung Parit Raja-Jalan Junid dekat sini yang sebelum ini sering kali berlaku kemalangan jalan raya mendapat perhatian kerajaan apabila jambatan yang dibina di laluan tersebut berjaya mengatasi masalah berkenaan,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
0