MUAR: Mereka bukan pendatang asing dan mereka
juga bukan penyokong tegar pembangkang sebaliknya berkemungkinan besar
mereka adalah penyokong setia Umno namun kedhaifan hidup mereka
membuktikan kealpaan pemimpin-pemimpin negara merealisasikan slogan
"rakyat didahulukan" yang digembar-gemburkan selama ini.
Dalam
kerancakan pembangunan negara yang begitu pesat, amat mustahil masih
terdapat segelintir rakyat yang terpinggir daripada menikmati keselesaan
hidup yang sewajarnya.
Inilah realiti kehidupan yang masih
membelenggu segelintir rakyat di negeri ini yang sempat dirakamkan
Harakah ketika mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr
Mohamad Taslim, yang tidak jemu-jemu turun padang untuk menyantuni
rakyat di Dun tersebut sejak beliau dipilih mewakili Dun Maharani pada
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.
Bagi kebanyakan rakyat di
Dun Maharani terutama orang Melayu, kehadiran Dr Mohamad sesuatu yang
asing bagi mereka, bukan disebabkan Dr Mohamad mewakili Pakatan Rakyat
tetapi kerana jarangnya wakil-wakil rakyat terdahulu turun padang
bertemu dan mengambil tahu masalah rakyat.
Berbeza dengan
pendekatan yang diambil Dr Mohamad yang mudah ditemui rakyat di mana
sahaja sama ada di majlis walimatulurus, kematian atau program-program
kemasyarakatan yang dianjurkan Dun Maharani, menyebabkan rakyat begitu
mesra dan amat senang dengan kehadiran beliau.
Pada 12 Januari
lalu, Harakah sekali lagi berkesempatan mengiringi Dr Mohamad meninjau
beberapa rumah penduduk di Parit Perupok Jalan Abdul Rahman, dekat sini,
yang begitu daif dan memerlukan perhatian serius pihak kerajaan.
Mungkin
sesetengah kita tidak percaya hari ini masih ada insan yang tinggal di
rumah kotak berukuran 10 kaki x 12 kaki yang berlantaikan tanah dan
dimasuki air bila air laut pasang selain tiada bekalan elektrik dan air
bersih, sungguh daif.
Untuk keperluan makan minum dan membasuh
pakaian, beliau menggunakan air hujan manakala untuk mandi pula, beliau
terpaksa pergi ke surau berhampiran.
Inilah yang dilalui
seorang warga emas di Parit Perupok Laut, Daud Idris, 70, sejak
kira-kira 15 tahun lalu, beliau bekerja mencari lokan dan siput laut
dengan pendapatan tidak menentu, dengan usia yang sudah agak lanjut ini
beliau tidak mampu menjalankan kerja ini sepanjang masa.
Oleh
kerana beliau yang masih bujang ini menghadapi masalah pendengaran maka
tidak banyak rahsia yang dapat dicungkil daripada beliau untuk
mendapatkan maklumat berhubung sejarah diri beliau masa lalu yang
menyebabkan beliau berkelana membawa diri jauh dari keluarga.
Walau
apa pun keadaan ini tidak seharusnya menjadi penghalang utama kepada
pihak-pihak berkaitan terutama kerajaan untuk menghulur bantuan yang
sewajarnya kepada beliau memandangkan usianya yang sudah lanjut serta
tahap kesihatan yang tidak menentu maka sewajarnya beliau dapat
menikmati sisa-sisa usia emas ini dengan lebih selesa seperti orang
lain.
Sebuah lagi rumah penduduk yang sempat diziarahi Dr
Mohamad dalam kunjungan ini, rumah seorang ibu tunggal warga emas, Tik
Ahmad, 82, di Parit Perupok Jalan Abdul Rahman, yang sudah begitu uzur
dimakan anai-anai.
Sekali imbas memang rumah beliau kelihatan masih elok tetapi apabila dilihat dari dekat barulah kelihatan dinding papan
serta kayu rumah beliau hampir kesemuanya telah reput dimakan anai-anai.
Beliau
yang tinggal bersama anak, menantu serta lapan cucu ini sentiasa berada
dalam kebimbangan memandangkan keadaan rumahnya umpama menunggu masa
untuk roboh.
Beliau pernah cuba memohon untuk mendapatkan
rumah Projek Perumahan Mesra Rakyat (PPMR) pada 2008 tetapi tidak
berjaya kerana beliau tidak mempunyai pendapatan tetap.
Selepas
itu anak beliau, Badrul Hisham Kamani pula cuba memohon tetapi tidak
berjaya sebab beliau sudah memiliki rumah sendiri, rumah PPMR yang
beliau mohon adalah untuk ibunya kerana rumah tersebut sudah terlalu
uzur dan membahayakan.
Berikutan itu pihak-pihak berkenaan
menyarankan kepada Badrul Hisham supaya menukar hak milik tanah ini
kepada beliau kerana beliau mempunyai pendapatan dan mampu membayar
balik pinjaman tersebut.
Setelah proses menukar hak milik
tanah ini dilakukan, Badrul Hisham sekali lagi mengemukakan permohonan
baru atas nama beliau tetapi borang tersebut didakwa tidak dimajukan
untuk diproses selama beberapa tahun sehinggalah aduan kepada Biro
Pengaduan Awam (BPA) dibuat kemudiannya.
Setelah aduan kepada
BPA ini dibuat barulah permohonan beliau diproses, bagaimanapun
permohonan beliau tidak juga diluluskan dengan alasan beliau sudah ada
rumah sendiri.
HARAKAH