KERJASAMA UMNO-PAS : Kenyataan YB Dato Dr Hasan Ali / Dato Harussani




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj2zvGh1VKqxlVeGnILJuG52xhtw0Y7-uBuGRdGyOTi8dhCD2RPvJG2dv-Mdlbu2O0x_NwAGS3ZjzYmcRbrNEh1CVikKQET6gOTuC6PODd83XkbQQW4Lt9XZ_W0JsjWQjBfM-9Vhx98gOA/s226/PAS_014.JPGhttp://1.bp.blogspot.com/_qqE6FBwEG-E/SorX8RGzuQI/AAAAAAAAK1E/klM5o7D4Hzc/s200/ss-harussani-zakaria.jpg

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN BIN MOHAMED ALI AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR


Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka. Pertemuan seperti ini diatur bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme ahli-ahli Exco berkenaan. Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan.

Pertemuan saya dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada “engagement” sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu. Saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Mufti dan sebelum itu menjawat jawatan sebagai Kadhi Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Ilmu dan pengalaman yang begitu luas yang beliau miliki sudah tentu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan umat Islam seluruhnya.

Saya ingin menegaskan bahawa:

1. Pertemuan tersebut adalah pertemuan di antara saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

2. Pertemuan diatur bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat;

3. Pertemuan tersebut bukan pertemuan sulit, malah diadakan secara terbuka ditempat yang terbuka.

4. Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu;

5. Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu;

6. Pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut. Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut.

Kepada sesiapa yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadap saya dalam hal ini, saya menyeru supaya mereka dapat merenung semula dan bermuhasabah diri agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi manfaat kepada kemajuan agama, parti yang sama-sama kita cintai dan umat seluruhnya. Marilah kita bersama-sama menumpukan tenaga dan pemikiran bagi menghadapi cabaran Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka akan berlaku tidak berapa lama lagi.

Sekian terima kasih.
24 Julai 2010

YB Dato’ Dr Hasan Bin Mohamed Ali
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,
Adat-adat Malayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
Tingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
__________________________________________________________________________________

Harussani: ‘Ya, Hasan jumpa saya tapi tak bincang kerjasama politik’

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga mengesahkan ada menemui  Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali, tetapi menegaskan mereka tidak membincangkan soal kerjasama politik Umno dan PAS.
Harussani berkata setakat ini beliau hanya mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpin dari PAS iaitu Hasan.
Ini kali pertama Harussani berkongsi identiti tentang Hasan yang sebelum ini didakwa mengadakan pertemuan memintanya menjadi orang tengah dalam isu kerjasama politik dan perpaduan PAS dan Umno.
Kata Harussani, kedua-dua mereka tidak membincangkan kerjasama politik Umno dan PAS tetapi mengenai perpaduan orang Melayu di negara ini.
“Kami memang tidak membincangkan langsung pasal kerjasama Umno dan PAS tetapi perpaduan orang Melayu di negara ini kerana kami melihat orang Melayu semakin berpecah.
“Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian untuk menyatukan perpaduan di kalangan orang Melayu, itu sahaja.
“Langsung tidak menyentuh soal kerjasama politik Umno dan PAS,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyaataan Hasan semalam yang mengaku pernah mengadakan pertemuan dengan  Harussani dua bulan lalu tetapi menegaskan mereka tidak membincangkan soal kerjasama politik Umno dan PAS.
Ia kenyataan pertama Hasan sejak Harussani mendedahkan ada pemimpin PAS dan Umno menemuinya dan meminta beliau mengaturkan kerjasama perpaduan membabitkan kedua-dua parti itu.
Malah kata Hasan, beliau tidak diberi mandat untuk mengaturkan perbincangan dengan mufti berkenaan berhubung kerjasama politik Umno dan PAS.
“Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu.
“Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu,” kata Hasan.
Pertemuan itu didakwa berlangsung di ibu negara hujung Mei lalu.
Hasan menambah pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut. Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut,” katanya.
Dalam ulasan lanjut, Harussani bagaimanapun berkata tiada parti yang layak untuk membincangkan soal perpaduan orang Melayu kecuali Umno dan PAS.
“Ingin saya tegaskan perpaduan orang Melayu boleh berjaya sekiranya kerjasama Umno dan PAS dapat diwujudkan.
“Ini kerana saya melihat Umno memperjuangkan orang Melayu manakala PAS pula memperjuangkan agama Islam, jadi siapa yang lebih layak untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu melainkan kedua-dua parti ini.
“Saya ingatkan melalui perbincangan untuk menyatukan orang Melayu boleh mencari jalan penyelesaian tetapi jadi makin teruk pula,” katanya.
Sebelum ini Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.
Setakat ini kenyataan Harussani telah ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”
Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam. – TheMalaysianInsider

sumber: http://semuaberita.rakanweb.com/harussani-%E2%80%98ya-hasan-jumpa-saya-tapi-tak-bincang-kerjasama-politik%E2%80%99/


0