ADUN MAHARANI TERUS BERBAKTI UNTUK RAKYAT


Korban masa demi rakyat


 
MUAR – Kesibukan tugas seharian sebagai seorang doktor termasuk menguruskan klinik tidak menjadi penghalang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Dr Mohamad Taslim untuk terus mendekati dan bertemu rakyat.

Bahkan sikap beliau yang merendah diri dan mesra itu berjaya menambat hati rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan juga kawasan sekitarnya.


Mohamad berkata, beliau akan sentiasa berusaha memperuntukkan masa untuk turun padang bertemu rakyat.

Menurutnya, tiada hari tertentu yang ditetapkan untuk bersama rakyat, sebaliknya akan mencari masa yang terluang semata-mata bertemu rakyat.

“Pendekatan ini sudah saya gunakan sejak dulu lagi dan apabila berjaya menjadi ADUN pada 2008, maka tanggungjawab kepada rakyat lebih banyak.

“Dengan sebab ini, tanggungjawab ini saya pikul dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, beliau tidak berasa malu ataupun kekok untuk bertemu rakyat di warung ataupun gerai makan.

“Pada kesempatan ini, saya bersama rombongan meluangkan masa bertemu rakyat di Kedai Makan Pak Lah di Kampung Parit Samsu Muar.

“Peluang ini saya gunakan untuk bertanya khabar dan menyelesaikan masalah rakyat sehingga peringkat akar umbi,” katanya.

Selain itu menurutnya, kadangkala beliau turut akan menyelitkan beberapa program ketika pertemuan bersama penduduk seperti Program Pemeriksaan Kesihatan secara percuma.

“Pertemuan secara santai ini sangat berkesan sebagai platform untuk merapatkan jurang di antara pemimpin dengan rakyat.

“Secara tidak langsung dapat mengelakkan rakyat daripada berasa malu untuk berdampingan dengan pemimpin setempat,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya kerana penerimaan rakyat yang sangat positif beliau berhasrat untuk terus mengekalkan cara itu konsep pemimpin mesra rakyat benar-benar diterjemahkan. 


sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9249371.asp

0