Selamat Tahun Baru Cina


Sempena sambutan Tahun Baru Cina , kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai buat semua kaum Cina di Malaysia. Sebagai perayaan terpenting masyarakat Cina, Tahun Baru Cina membawa signifikan satu titik permulaan dalam kehidupan masyarakat Cina. Semoga Tahun Baru Cina pada tahun ini memberikan kehidupan yang lebih baik, maju dan berjaya. Diharapkan juga sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih meriah dengan sambutan bersama oleh masyarakat Melayu, India dan lain-lainnya.




" Info Tahun Baru Cina "

Tahun Baru Cina merupakan pesta Perayaan Musim Bunga "Spring" terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar lunar Cina. Kalendar lunar Cina terbahagi kepada kitaran dua belas tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Menurut turutan, haiwan tersebut adalah tikus, kerbau, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing, dan babi. Kepercayaan popular menyatakan perangai dan nasib seseorang ditentukan oleh tahun kelahiran mereka.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun akan dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau hantu jahat dan nasib tidak baik. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau kumquat.

Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti itik salai, sosej, kek beras, dan limau mandrin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang bekeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian Naga atau Singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.

Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai. Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbangi bendera "Chingay".

0