ADUN MAHARANI BERI KHIDMAT KESIHATAN PERCUMA


Penduduk terima pemeriksaan kesihatan percuma 

MUAR - Hampir 30 penduduk Parit Bakar tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan rawatan percuma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani Dr Mohamad Taslim.

Rawatan pemeriksaan kesihatan bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis itu diadakan di sebuah warung di Pekan Parit Bakar, di sini.


Menurutnya, Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma ini telah dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani ini sejak lebih 10 tahun yang lalu.

“Ia adalah Program Kebajikan PAS Kawasan Muar sebagai salah satu usaha untuk mendekati rakyat.

“Kaedah ini juga menjadi langkah pencegahan untuk mengurangkan bilangan rakyat DUN Maharani daripada menghadapi penyakit kronik,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, beliau juga sering mengadakan lawatan berkala dari rumah ke rumah mengunjungi penduduk yang menghidap penyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang ditimpa musibah.

“Inilah adalah di antara khidmat yang dapat saya sumbang sejak sebelum menjadi Wakil Rakyat lagi.

“Rawatan seperti ini akan teruskan dikekalkan supaya manfaat ini dapat dikongsi bersama dengan rakyat di sini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang doktor perubatan beliau rasa terpanggil untuk menyumbangkan kemahiran perubatan bagi memastikan rakyat di sini mempunyai tahap kesihatan yang baik.

“Saya sedar bahawa ada dalam kalangan penerima rawatan ini menghadapi kekangan untuk mendapatkan rawatan sendiri ke klinik kerana masalah pengangkutan.

“Jadi diharapkan melalui kaedah ini akan dapat memperkukuhkan hubungan di antara pemimpin dengan rakyat,” katanya. 

sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9232031.asp

0