JOHOR MUFLIS 2012 ?



Muflis 2012: PAS mohon Sultan Johor campurtangan
| Print |  E-mail
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 8 Feb: PAS mahu Sultan Johor ,Tunku Ibrahim Ismail campurtangan ekoran kedudukan kewangan kerajaan negeri itu yang didakwa sangat lemah sehingga dijangka membawa kepada muflis pada tahun 2012.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad mendedahkan, bagi tempoh tiga tahun berturut-turut negeri itu mengalami defesit sebanyak RM2.04 juta (bajet 2008), RM2.746 juta (bajet 2009) dan RM1.5 juta (bajet 2010).

Dalam masa yang sama katanya, hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan meningkat 20.6 peratus daripada RM841.13 juta pada 2007 kepada RM1,010 juta atau RM1.01 bilion pada 2008.

"Menurut laporan Ketua Audit Negara 2008, kecairan tunai (Liquidity Ratio) kerajaan Johor adalah rendah kerana jumlah aset semasa hanyalah berjumlah RM201.53 juta (Tunai RM36.37 juta dan pelaburan RM165.16 juta) berbanding tanggungan semasa yang  berjumlah RM943.54 juta.

"Dengan kata lain, jumlah aset semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa.Sebagai perbandingan jumlah aset semasa negeri Johor adalah RM1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM1,025.89  juta,"katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi.

Sehubungan itu PAS Johor akan mengadakan satu himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Sultan Johor, memohon baginda campur tangan dalam urus tadbir kewangan Johor Corporation (Jcorp) dan kerajaan negeri yang sedang mengalami krisis yang serius.

Penyerahan memorandum itu merupakan kemuncak kepada 'Kempen Selamatkan Johor' ekoran kegagalan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menguruskan kewangan Jcorp dan kerajaan negeri secara berhemah sehingga megakibatkan kedua-duanya menanggung bebanan hutang dan krisis kewangan yang kritikal.

Perbelanjaan negeri Johor lebih kurang RM785 juta setahun atau RM65 juta sebulan dan ini bermakna jika tiada pendapatan baru diterima, maka jumlah aset semasa sebanyak RM201.53 juta hanya membolehkan kerajaan Johor bertahan selama tiga bulan sahaja sebelum diisytiharkan muflis.

Hutang terkumpul Jcorp pula berjumlah RM4.032 bilion.

Pada 2002, melalui Pelan Induk Penstrukturan Semula Korporat di bawah Bank Negara, Jcorp telah menerbitkan bon (surat hutang) berjumlah RM4.032 bilion dengan kerajaan negeri sebagai penjaminnya.Tempoh matang bon-bon tersebut adalah pada 2007.2009, dan 2012.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 2009, Jcorp telah menebus bayar sebanyak RM393.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009).Oleh itu, jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai 2012 ialah RM3.58 bilion.

Beliau juga mempersoal kemampuan Jcorp menampung kekurangan sebanyak RM2 bilion atau RM2,000 juta memandangkan purata keuntungan sebelum cukai Jcorp adalah lebih kuran 600 juta setahun.

Ini bermakna menjelang tahun 2012, Jcorp hanya mampu mengadakan lebih kurang RM1.5 bilion bagi menebus bayar bon.

Beliau tidak menolak kemungkinan Jcorp dan kerajaan negeri Johor akan mengambil jalan pintas dengan cara menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik mereka.

CEO Iskandar Investment Berhad (IIB) juga telah membuat kenyataan baru-baru ini bahawa IIB telah membeli Menara Pejabat Plaza Kotaraya daripada Jcorp dan tapak CIQ di Stulang daripada kerajaan Johor.

Sedangkan kedua-dua aset atau hartanah tersebut mempunyai lokasi yang sangat strategik dan sangat baik untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang.

Mengulas lanjut mengenai kempen tersebut pula, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ), Suhaizan Kaiat berkata, ianya akan mengambil masa dua hingga tiga bulan bagi memberi penerangan kepada rakyat negeri itu sebelum penyerahan memorandum kepada pihak istana.

Kempen berkenaan akan diisi dengan program penerangan seperti jelajah ke seluruh daerah di Johor, forum, ceramah, serta edaran risalah-risalah berkaitan dan mensasarkan rakyat Johor dari pelbagai latar belakang.

"Pihak jawatankuasa sedang mendapatkan sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan parti-parti politik.kami akan menubuhkan front rakyat untuk dikemukakan kepada pihak istana,'katanya.

Selain itu, PAS Johor turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan siasatan secara menyeluruh ke atas Jcorp dan 392 anak syarikatnya bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan kerugian besar yang dilami Jcorp serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Abdul Ghani juga diminta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedudukan kewangan Jcorp dan kerajaan negeri yang sedang kritikal serta memberikan penjelasan kepada rakyat Johor sebab kedudukan kewangan negeri berada pada tahap sedemikian.

Turut hadir dalam sidang sidang media tersebut ialah Ketua DPPNJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil.


sumber :http://www.harakahdaily.net/

 __________________________________________________________________________________
KENYATAAN BALAS TERHADAP KENYATAAN YAB MENTERI BESAR JOHOR BERKAITAN ISU JOHOR MUFLIS 2012 PDF Print E-mail
Written by PAS Johor   
Wednesday, 14 April 2010 11:04

PAKATAN RAKYAT (PR) JOHOR
http://cj.my/dalamkembara/files/2010/04/IMG_7819.jpg KENYATAAN AKHBAR
13 APRIL, 2010
 
Pada hari Jumaat, 9hb. April, 2010 disiarkan kenyataan YAB Menteri Besar Johor di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan The New Straits Times berkaitan kedudukan kewangan  JCorp dan Kerajaan Negeri dan menuduh parti pembangkang berniat amat jahat untuk  meracuni pemikiran serta menakut-nakutkan rakyat Johor.


Sebenarnya YAB Menteri Besar Johor tidak memahami isu sebenar yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) Johor dalam “Kempen Selamatkan Johor”. Isu-isu pokok utama yang dibangkitkan adalah seperti berikut;

1.    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2008, Kecairan Tunai Semasa (Liquidity Ratio) kerajaan Negeri Johor adalah rendah iaitu hanyalah RM 201.53 juta (Tunai RM36.37 juta & Pelaburan RM165.16 juta) berbanding dengan Tanggungan Semasa berjumlah RM 943.54 juta. Dengan kata lain jumlah Aset Semasa (tunai dan pelaburan) tidak dapat menampung jumlah Tanggungan Semasa. Sebagai perbandingan jumlah Aset Semasa (tunai dan pelaburan) Negeri Selangor adalah RM 1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM 1,025.89 juta. Jumlah ini jauh lebih banyak dari Negeri Johor. Keadaan ini menunjukkan bahawa urus tadbir kewangan Negeri Johor sangat lemah berbanding dengan negeri-negeri yang sebanding daripada segi ekonomi dan pembangunannya iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang kebetulan ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Bajet Negeri Johor 2010 Berjumlah RM785 juta @ RM65 juta sebulan. Dengan andaian tidak ada hasil atau pendapatan baru kepada kerajaan Negeri maka kerajaan Negeri Johor hanya boleh bertahan 3 bulan sahaja sebelum “MUFLIS”.


2.   YAB Menteri Besar menyatakan bahawa hutang kerajaan Negeri kepada pusat naik 20.6% menjadi RM1.01 bilion (2008) berbanding RM842.13 juta (2007) adalah  disebabkan oleh pinjaman yang dibuat bagi projek air (RM633.88 juta) dan pinjaman oleh JCorp (RM52.5 juta). Isu pinjaman projek air menurut YAB Menteri Besar dikira selesai kerana diambil alih oleh Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Persoalan disini ialah sejauhmanakah keberkesanan pinjaman yang dibuat untuk bekalan air berbanding negeri-negeri yang lain. Masalah bekalan air yang dihadapi oleh Daerah Kluang dan Batu Pahat yang penggunaan air dicatu setiap kali berlakunya kemarau masih belum dapat diselesaikan. Persoalah kedua ialah perkhidmatan air di negeri Johor telah diswastakan kepada SAJH, milik penuh Ranhill Utilities Berhad. Tetapi kenapa setelah diswastakan, kerajaan Negeri masih dibebankan dengan pinjaman yang besar bagi projek pembekalan air. Sepatutnya SAJH perlu berdikari dan mencari dananya sendiri. Bahkan SAJH masih berhutang dengan kerajaan Negeri sebanyak RM511.82 juta. Apa yang kita bimbangi, pihak yang mengaut keuntungan besar daripada penswastaan ini adalah Ranhill Utilities Bhd. bukannya SAJH, kerana hampir semua projek infrastruktur SAJH adalah dimonopoli oleh Ranhill. Tarif air dinaikkan dan SAJH digunakan sebagai meknisma mengutip wang daripada rakyat untuk memperkayakan  Ranhill.  

3.   PR Johor menyangkal kenyataan YAB Menteri Besar Johor yang menyatakan bahawa pembangkang tersilap kerana menganggap jumlah pinjaman Johor Corporation (JCorp) melalui penerbitan bon (surat hutang) sebanyak RM4.032 bilion pada tahun 2002 sebagai hutang kerajaan Negeri. YAB Menteri Besar Johor perlu menyedari bahawa Bon yang diterbitkan oleh JCorp adalah dijamin oleh kerajaan Negeri Johor. Dengan jaminan tersebutlah yang memberikan keyakinan kepada pelabur-pelabur untuk melanggani bon tersebut. Ini bermakna jika sekiranya JCorp gagal untuk membayar nilai pokok termasuk keuntungan bon yang diterbitkan bila sampai tempoh matangnya maka kerajaan negeri Johor sebagai penjamin perlu menyediakan kewangan tersebut. Dalam Sidang DUN Johor pada 8/9/2009, JCorp telah menebus bayar sebanyak RM393.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009). Jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai, 2012 adalah sebanyak RM3.58 bilion. Berdasarkan kepada  keuntungan sebelum Cukai JCorp pada masa sekarang lebih kurang RM 600 juta setahun. Ini bermakna menjelang tahun 2012, dijangkakan JCorp hanya mampu mengadakan sejumlah RM1.5 bilion bagi menebus bayar bon. Persoalannya bagaimanakah JCorp hendak menampung kekurangan sebanyak RM2 bilion atau RM 2,000 juta tersebut? Bagi kerajaan Negeri juga adalah merupakan satu masalah bagi menyediakan kekurangan RM2 bilion tersebut kerana kedudukan kewangan kerajaan Negeripun berada dalam keadaan lemah. Senario ini mencerminkan bukan sahaja urus tadbir keawanag kerajaan negeri yang lemah tetapi juga urus tadbir kewangan JCorp juga adalah lemah. Pada masa sekarang JCorp mempunyai lebih kurang 392 anak syarikat, antara yang tertinggi yang dimiliki oleh syarikat milik kerajaan negeri di Malaysia.

4.    Di dalam “Kempen Selamatkan Johor”, PR Johor bimbang kerajaan Negeri dan JCorp terpaksa mengambil “JALAN PINTAS”  dengan menjual aset-aset ataupun hartanah strategik mereka. Mungkin inilah bentuk “REZAB” yang dimaksudkan oleh YAB Menteri Besar yang akan digunakan untuk menyelesaikan hutang JCorp dan membiayai perbelanjaan mengurus Negeri Johor. Dalam sidang DUN Johor baru-baru ini JCorp telah mengesahkan menjual Menara Pejabat Kotaraya dari tingkat 7 hingga 14 (berkeluasan 75,713 k.p beserta 100 tempat letak kereta di tingkat 4 dan 6) kepada Iskandar Investment Berhad (IIB) pada 12 Dis, 2009 dengan harga RM27 juta. IIB juga diberitakan berminat untuk membeli tapak CIQ di Stulang milik kerajaan Negeri. Bukankah kedua-dua aset atau hartanah tersebut mempunyai lokasi yang sangat strategik dan sangat baik untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang? Selepas ini apa pula yang akan dijual? Sebagai contoh, JCorp perlu menjual 74 menara seperti Menara Pejabat Kotaraya bagi menebus RM2 bilion atau RM2,000 juta hutangnya!

5.   PR Johor meragui kenyataan YAB Menteri Besar yang menyatakan bahawa JCorp adalah merupakan sebuah syarikat yang besar dan kukuh. JCorp tidak akan membebankan kerajaan dalam membayar balik hutang atau bon (surat hutang) yang diterbitkan. Bahkan sebelum ini YAB Menteri Besar menyatakan JCorp memiliki aset berjumlah hampir RM5 bilion dan bila-bila masa boleh dicairkan untuk membayar hutangnya. JCorp memiliki 7 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan itu ianya tertakluk kepada peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Pada pandangan PR Johor;

a)    Jika JCorp merupakan sebuah syarikat yang besar dan kukuh, kenapa memiliki hutang terkumpul sebanyak RM4.032 bilion sehingga perlu menerbitkan bon (surat hutang) pada 2002.
b)    Jika JCorp merupakan sebuah syarikat yang besar dan kukuh, kenapa sehingga sekarang masih berhutang sebanyak RM87.59 juta dengan kerajaan Negeri sehingga 2008.
c)    Jika JCorp merupakan sebuah syarikat yang besar dan kukuh, kenapa perlu memohon kerajaan Negeri berhutang kepada Kerajaan Pusat bagi kepentingan mereka sebanyak RM52.5 juta sehingga 2008.

Daripada penerangan yang diberikan jelas menunjukkan urus tadbir kewangan kerajaan Negeri dan JCorp berada dalam keadaan yang sangat lemah. YAB Menteri Besar Johor hendaklah bersikap jujur dalam memberitahu rakyat Johor tentang keadaan kewangan sebenar kerajaan Negeri dan JCorp. Oleh itu, PR Johor mencabar YAB Menteri Besar supaya ;

1)    Membuat penjelasan secara terperinci aset-aset atau “rezab” yang akan dilupuskan bagai menebus bon sebanyak RM3.58 bilion yang akan matang pada tahun 2012.

2)    Mengadakan dialog terbuka dengan PR Johor dalam isu diatas.


PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
PARTI DEMOCRATIC ACTION PARTY (DAP)
PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR)







0