NASIB NELAYAN DI JETI KUALA SUNGAI MUAR (JETI BENTAYAN)


SOALAN-SOALAN BERTULIS YANG DITANYA OLEH YB GWEE TONG HIANG DI MESYUARAT KEEMPAT PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR KE-12 PADA 17 MAC 2011.

SOALAN B 7

Apakah status Projek Pembinaan Jeti Nelayan Kuala Sungai Muar (Jeti Bentayan), memandangkan projek telah diluluskan dan kontraktor telah dilantik?

JAWAPAN

Bagi maksud pembinaan jeti nelayan Kuala Sungai Muar (Jeti Bentayan), pembinaan jeti tersebut telah siap dan diguna oleh nelayan. Jeti Bentayan merupakan projek yang dibina dibawah peruntukan Pakej Rancangan Ekonomi Pertama iaitu pada tahun 2004 dengan kos pembinaan sebanyak RM100,000.00.

Dibawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua, atas permohonan nelayan Kuala Sungai Muar pihak Lembaga Kemajuan Ikan telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk manaik taraf jeti Bentayan supaya dapat dijadikan Pusat Jualan Diesel Bersubsidi Untuk Nelayan dan pusat pendaratan nelayan.

Cadangan untuk menaik taraf jeti tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Johor walaupun tawaran sebut harga telah dikeluarkan oleh kerana tidak dapat sokongan dan kelulusan dari pihak Majlis Perbandaran Muar dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Muar dengan alasan pihak Majlis Perbandaran Muar telah ada cadangan untuk Projek Muar Waterfront. Peruntukan tersebut telah dibatalkan 
dan kembalikan semula ke Ibu Pejabat LKIM. 
__________________________________________________________________________________
 
 Imbas kembali jawapan kepada soalan yang sama sebelum ini dan lawatan kerja YB Dr Mohammad dan YB Gwee ke Jeti tersebut. Ia mendapat liputan akhbar Cina dan Sinar Harian:

YB Gwee dan YB Dr Mohammad bersama nelayan di atas jeti yang uzur 
dan berisiko tinggi.

Baru-baru ini, pada 7 Disember 2010, YB Dr Mohammad Taslim,ADUN Maharani dan YB Gwee Tong Hiang , ADUN Bentayan, dengan diiringi oleh PA masing-masing telah bertemu nelayan-nelayan di jeti  Bentayan untuk memeklumkan perkembangan terkini status jeti mereka.Kehadiran mereka disambut mesra oleh para nelayan yang berpeluang meluahkan masalah mereka terus kepada wakil rakyat mereka.


Dalam Pesidangan Dewan Negeri Johor dalam bulan Jun-Julai 2009  yang lalu YB Gwee mengajukan soalan tentang pembinaan Jeti Pengkalan Bentayan ini.Menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, "Pihak LKIM telah mencadangkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 untuk memanjangkan jeti yang sedia ada di Pangkalan Bentayan,Muar.Dijangkakan proses sebut harga akan dilaksanakan setelah kebenaran diterima daripada Pihak Berkuasa yang berkenaan di Muar,"  


Setelah menunggu sekian lama, YB Dr Mohammad pula telah membawa perkara tersebut sekali lagi dalam Persidangan Dewan Negeri Johor dalam bulan November- Disember 2010 yang lalu.Kali ini jawapan yang diberi oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani sangat menghampakan.Inilah jawapannya:
"Sememangnya pada peringkat awal terdapat peruntukan bagi pembinaan jeti nelayan Sungai Muar (Bentayan) sebanyak RM350,000.00 dan sebutharga juga telah dibuat oleh pihak ibu pejabat.Memandangkan terdapat arahan daripada Majlis Perbandaran Muar di mana tidak dibenarkan sebarang pembangunan di sepanjang muara Sungai Muar. 


Pihak Majlis mempunyai perancangan untuk memajukan  kawasan tersebut dan jika cadangan pembinaan ini dilaksanakan ianya akan menyebabkan perancangan pihak Majlis terganggu/tidak dapat dilaksanakan.


Oleh yang demikian keputusan ini telah dipanjangkan  ke pihak ibu pejabat LKIM untuk dibincangkan di dalam  Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga LKIM dan mesyuarat tersebut memutuskan supaya panggilan sebutharga tersebut dibatalkan.Pihak LKIM belum pernah melantik sebarang kontraktor bagi tawaran kerja tersebut."


Bilakah nasib nelayan Kuala Sungai Muar ini akan dibela ? Bila RAKYAT AKAN DIDAHULUKAN ?


0