UCAPAN ADUN MAHARANI DALAM PERBAHASAN TITAH DYMM SULTAN IBRAHIM JOHOR DI DEWAN NEGERI JOHOR 2011


UCAPAN PERBAHASAN
TITAH DYMM SULTAN IBRAHIM
DALAM MESYUARAT  PERTAMA PENGGAL PERSIDANGAN 
KE EMPAT DEWAN NEGERI JOHOR
 OLEH:
 Y.B. DR MOHAMMAD BIN TASLIM
ADUN MAHARANI
PADA 28 JUN 2011 
Jata-Johor.jpg

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Bismillahirrahmaanirrahim…

YB Dato’ Speaker,

Maharani mengucapkan syukur ke hadrat Allah swt dan
terima kasih kepada YB Dato Speaker kerana memberi
peluang membahaskan titah DYMM Sultan Ibrahim ibni
Almarhum Sultan Iskandar, pada tengah hari yang mulia ini.

YB Dato Speaker,

Johor Negeri Makmur
Johor,Negeri yang kita kasihi ini, ialah negeri yang cukup makmur.
Maharani menjunjung kasih di atas  titah DYMM Tuanku bahawa   “ kemakmuran negeri bukan bergantung kepada pembangunan ekonomi semata-mata.”
Inilah yang patut kita fahami.  Allah kurniakan negeri kita dengan hasil mahsul yang mewah, negeri yang luas. Alhamdulillah Johor mempunyai segala-galanya -  air,balak ,sawit, getah, batu batan, pasir, silika dan bermacam-macam lagi  yang boleh memangkin Johor kearah Negeri Maju 2010 demi kesejahteraan  rakyat jelata
Sebagai pemerintah  kebajikan rakyat perlu diutamakan dan tidak membebankan rakyat.  

Itulah yang dimaksudkan oleh PAS yang menyuarakan  Negara Berkebajikan, bukan Negara Kebajikan atau Welfare State  barat seperti yang difahami oleh ahli YB sebelum ini di mana semuanya dikatakan percuma dan rakyatnya tak payah bekerja dapat duit.
Negara Berkebajikan bukan sahaja diukur dengan kemudahan fizikal,infrastruktur  tetapi  yang paling penting ialah ketulusan, amanah dan juga bebas daripada segala kemungkaran di dalam negara ini supaya rakyat selamat   di dunia dan di akhirat.

Sebagai contoh jikalah kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat , kita di negeri Johor ini  tidak  menaikkan tarif air :
Johor diiktiraf sebagai negeri yang termahal menjual air kepada rakyatnya di Malaysia ini walaupun ia mampu menjual lebihan air mentahnya ke negeri dan Negara luar.

Sejak 1 November 2010 Tarif Air Domestik Johor ialah
60 sen  setiap m padu bagi penggunaan 0 - 20m padu  (= RM12.00)
RM1.65  “     “     “        “        “               20 – 35m padu (RM24.75)
RM2.96  “       “    “        “        “                lebih 35m padu

Ini bermakna jika mereka menggunakan 35m padu air sebulan mereka akan bayar RM24.75 , tetapi apabila ditambah 10m padu maka bayaran tambahan ialah RM29.60.Jadi inilah yang membebankan rakyat.
Maharani ingin tahu  berapa peratuskah penduduk di Negeri Johor ini yang menggunakan air dalam lingkungan 0m padu hingga 20m padu, dalam lingkungan 20m padu hingga 35m padu dan lebih daripada 35m padu.
(Celahan oleh YB Dato Timbalan Speaker: Yang Berhormat guna berapa banyak sebulan?
YB Dr Mohammad : Dalam 40m padu.
Dahulu saya bayar dalam RM30 lebih, sekarang RM60 lebih, walaupun kegunaan sama.YB Exco memberitahu bahawa harga kita lebih murah tetapi sebenarnya kebanyakan penduduk terpaksa membayar lebih.
Di negeri Johor ini bukan sahaja rakyat yang kena bayar lebih, kerajaan sendiri pun kena bayar labih ! Inilah hasil daripada penyerahan air Johor kepada SPAN. Dahulu kerajaan bayar RM2.13 sahaja, sekarang kerajaan kena bayar RM2.80.Sepatutnya kerajaan diberi diskaun supaya bayaran bil air di bangunan kerajaan dapat digunakan untuk rakyat.

Kalau kita bandingkan  di Melaka kerajaan hanya bayar  RM1.30 sahaja untuk se m padu sedangkan Melaka beli air daripada Johor. Di Johor kerajaan bayar RM2.13 (sekarang RM2.80)
Begitu juga , di Johor ini tidak ada peruntukan untuk bayaran air kepada rumah-rumah ibadat. Di Melaka ada. Rumah ibadat dicaj RM0.55 sahaja se m padu.
Inilah yang kita perlu bahawa kebajikan rakyat kita utamakan  supaya rakyat dapat manafaat daripada hasil mahsul negara ini.                                   
PERJANJIAN AIR MALAYSIA-SINGAPURA:

Seterusnya Maharani ingin mengingatkan tentang
 Perjanjian ‘Tebrau and Scudai Rivers Water Agreement’ yang ditandatangani pada 1 September 1961 oleh City Council Of Singapore (sekarang PUB) dan Kerajaan Johor dan akan tamat tempoh pada 1 September 2011.

Dewan ini telah dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar Johor bahawa  Kerajaan Johor akan mengambil alih aset air yang diselanggarakan oleh  PUB Singapura selepas tamat tempoh ini..  Walau bagaimanapun Maharani ingin tahu apakah perkembangan semasa untuk memastikan apabila aset ini diserahkan kepada kerajaan Negeri Johor  tidak akan ada kerugian yang menimpa malahan adakah akan dapat keuntungan kepada Kerajaan Johor. 
Kita ingin tahu apakah mekanisma  yang akan digunakan untuk memastikan bahawa kita tidak lagi  kerugian dua kali?

 Kita mesti ingat, ada satu lagi perjanjian air 1962 dengan Singapura,  ‘The Johor Water Agreement’  ditandatangani pada 29 September 1962 , yang akan tamat  tahun 2061.Jadi kita kena bersedia dari sekarang untuk memastikan bahawa kita tidak akan sentiasa kerugia dengan perjanjian-perjanjian  yang telah kita lakukan pada masa dahulu.

YB Dato Speaker,

Oleh kerana YB Kempas sudah sebut tentang Bersih 2.0 saya ingin turut membahaskan secara ringkas.Sebenarnya perlembagaan membenarkan rakyat berhimpun secara aman.Pihak keselamatan sepatutnya menjada keselamatan rakyat yang berhimpun ini dengahn syarat mereka tidak melakuka perkara-perkara yang melanggar Perlembagaan.Tuntutan mereka juga bersih dan berpatutan untuk untuk memastikan pilihanraya yang lebih telus. Diharapkan tidal ada pihak yang mengacau. Pihak luar ini hendak sama-sama berhimpun dan ini mungkin akanmenimbulkan salah faham.Lagipun jika pilihanraya bersih bukan sahaja kami yang di belakang ini sdikit, cuma 6 orang sahaja tetapi mungkin selapas Perhimpunan Bersih lebih ramai yang duduk di belakang. Kalau tidak di belakang pun , duduk di depan (Dewan ketawa).

 YB Dato Speaker,

 Maharani menjunjung kasih di atas keperhatinan DYMM Tuanku tentang Instisusi pendidikan agama Kerajaan Johor, pengajian al quran dan terjemahan di sekolah agama, program membudayakan al quran dan institiusi masjid Maharani juga ucapkan tahniah kepada YB Parit Yaani yang begitu perihatin dengan elaun imam surau dibandingkan dengan elaun imam masjid. 
Memang benar elaun RM750 sebulan untuk Imam Masjid yang bekerja sepenuh masa ini pun hampir di bawah paras kemiskinan atau mudah miskin.

Pada persidangan yang lalu juga seorang YB bertanya tidakkah isu kenaikan elaun imam ini akan menyebabkan pecah belah.
Sekarang Maharani ingin membangkitkan isu yang berkaitan dengan
Peranan Pegawai Masjid (Imam dan Pembantu Imam) Masjid-masjid Kariah negeri Johor menurut pekeliling Jabatan Agama Johor Ruj. JAJ/PMS/190/136/10 bertarikh 20 April 2011. Menurut pekeliling ini imam-imam yang mempunyai jawatan hakiki selain daripada jawatan sebagai imam masjid (contohnya guru, ketua kampong)  dikehendaki memilih salah satu jawatan –jawatan tersebut. ALASANNYA kerana kenaikan bayaran imbuhan bulanan kepada Pegawai Masjid dan supaya menumpukan sepenuhnya kepada tugas sebagai imam.

YB Dato Speaker,

Kesannya ia menghalang mereka yang layak dan imam muda untuk
mengerakkan masjid dan masyarakat  dan memberi khidmat kepada
masyarakat dan untuk Allah. Ia juga menghadkan kariah memilih imam untuk menggantikan mereka yang telah uzur dan lanjut usia dan kurang kemampuan. Maharani dimaklumkan ada masjid yang menghadapi masalah memilih calon imam baru kerana di kariah tersebut tiada mereka yang benar-benar layak. Pekeliling ini patut diteliti semula kerana kesannya ia menimbulkan masalah kepada kariah. Mungkin ada mereka yang berjawatan lain merebut
menjadi imam kerana elaunnya tetapi yakinlah kebanyakan mereka ikhlas. Imam di Masjid kariah Maharani seorang yang hebat dengan ilmu agamanya , ilmu al Qurannya mendapat elaun pesara sebagai pensyarah yang nilainya jauh lebih besar daripada elaun imam tidak mengejar jawatan kerana elaun tetapi kerana keikhlasannya !
YB Dato Speaker,

Bajet Johor 2011 memperuntukkan ganjaran RM1,000 sebulan untuk para tahfiz yang berjaya menghafaz lengkap 30 juzuk al Quran. Adakah ini telah terlaksana  apakah syarat-syaratnya dan berapa orang hafiz yang telah berdaftar di negeri Johor ini.

YB Dato Speaker,

Dalam isu keselamatan Maharani mengucapkan tahniah kepada PDRM yang dapat mengurangkan kadar jenayah di negeri Johor. Namun begitu penglibatan rakyat jelata penting. Maharani ingin tahu berapakah bilangan rakyat yang terlibat dengan Rukun Tetangga  dan Skim Rondaan Sukarila (SRS). SRS merupakan satu skim yang melibatkan penduduk setempat yang meronda kawasan tertentu untuk memastikan keselamatan persekitaran mereka. Di antara cara manggalakkan rakyat yang bekerja kerajaan atau swasta menyertai skim ini ialah dengan memberi cuti pelepasan kerja selepas mereka bertugas semalaman. Adakah cuti ini masih diberikan dan jika tidak, mengapa ?

YB Dato Speaker,

Guru KAFA

Baru-baru ini Guru KAFA telah dilantik semula sebagai Guru Sementara dan diperlukan membuat Pemeriksaan Kesihatan. Menurut syarat perkhidmatan mereka ialah mereka layak mendapat cuti sakit selama 15 hari. Tidak disebut tentang cuti tahunnya ada atau tidak. Sejak kenaikan elaun RM800 + RM 412 nampaknya tugas mereka sudah berubah daripada guru KAFA kepada Guru Agama Kerajaan Johor sedangkan gaji dan kemudahan guru agama jauh berbeza. Apakah  kerajaan bercadang untuk menyerap mereka menjadi Guru Agama Kerajaan ?

YB Dato Speaker,


Maharani ingin membawa isu kesihatan.
Sepatutnya dalam negara majumini kesihatan rakyat terjaga dan masalah kekurangan kakitangan, kekurangan doktor dapat diselesaikan. Tetapi apa yang menyedihkan ialah dengan adanya Klinik 1 Malaysia, Klinik Kesihatan dan ada Jabatan Kecemasan di Hospital ada pesakit tidak dirawat oleh doktor tetapi oleh MA, Medical Assitant sahaja.Sepatutnya MA membuat saringan sahaja untuk membantu doktor dan semua pesakit hendaklah dirujuk kepada doktor. Ada sebahagian pesakit tidak dirujuk kepada doktor dan diarah balik.Ini akan menyebabkan berlaku kesilapan (misdiagnosis


Maharani mencadangkan supaya setiap Klinik Kesihatan hendaklah ada doktor yang bertugas dan setiap pesakit hendaklah dirawat oleh doktor dan bukan MA.Diharap Kementerian Kesihatan  memastikan rakyat mendapat rawatan terbaik.


Dengan ini Maharani menyokong usul, terima kasih.


0