UCAPAN BAJET ADUN MAHARANI DI DEWAN NEGERI JOHOR 2008


Ucapan Bajet 2009 Adun Maharani PDF Print E-mail
Written by DR. Mohammad Bin Taslim
Saturday, 27 December 2008 19:42
DR. Mohammad Bin TaslimBismillahirrahmaanirrahim. 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Sejahtera.
Selamat Pagi.

YB Dato’ Speaker,

Alhamdullillah saya bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Speaker kerana memberi saya peluang untuk membahaskan Bajet Negeri Johor 2009 di dewan yang mulia ini.

Sekalung tahniah kepada YAB Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Bajet bertema “ Menghadapi Cabaran, Memelihara Kesejahteraan Rakyat”. Menyedari suasana ekonomi dunia pada 2009 akan bertambah menguncup, sudah sepatutnya kerajaan lebih berhati-hati dan mengamalkan perbelanjaan berhemah. Harapan rakyat bajet defisit sebanyak RM2.75 juta ini tidak akan meningkat apabila sampai ke penggal pertama, kedua, dan ketiga nanti.

Rakyat memerlukan pembangunan. Saya melihat Pejabat Menteri Besar mendapat peruntukan sebanyak RM52.5 juta bagi program dan projek-projek kecil dan sederhana untuk rakyat bandar dan luar bandar. Harapan saya peruntukan ini hendaklah diagih-agihkan ke setiap DUN tanpa mengira kawasan BN atau Pakatan Rakyat tanpa ada agenda politik, tapi semata-mata untuk kesejahteraan rakyat. Rakyat rasa terbela. Janji-janji sebelum pilihanraya hendaklah ditunaikan. Kami Adun Pakatan Rakyat sentiasa berkerja untuk rakyat dan menyalurkan permasalahan rakyat kepada pihak yang bertanggungjawab. Jadi pihak yang berkenaan hendaklah menyelesaikan permasalahan rakyat dengan telus,adil dan saksama.

YB Dato’ Speaker,

Kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

Saya sangat tertarik dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng yang berkata“ Saya ingin mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya”. Ini adalah contoh keazaman seorang pemimpin muda yang penuh dengan idealisme. Saya melihat pemimpin masa depan Islam atau bukan Islam mestilah adil dan bermoral tinggi seperti kepimpinan Umar Abdul Aziz. Saya ingin menyebut beberapa kehebatan Khalifah ini.

(1) Beliau meminta ulamak menasihati kepimpinannya.

(2) Beliau menyarankan kakitangannya tidak zalim, diskriminasi, rasuah, pilih kasih, menindas dan lain-lain.

(3) Beliau menyarankan kakitangannya tidak hidup bermewah-mewah, kenderaan sederhana sahaja, tidak menyalahkan harta negara.

(4) Beliau mudah bertemu dengan rakyat tanpa protokol.

Pemerintahan Khalifah Umar menekankan pembangunan material selari dengan rohani rakyat. Konsep modal insan telah dipraktikkan dalam pemerintahannya. Beliau juga menekankan kuasa adalah amanah yang ada balasannya di akhirat. Saya yakin ahli-ahli dewan akan bersetuju jika saya katakan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan adalah contoh yang boleh diikuti di Malaysia ini.

YB Dato’ Speaker,

Iskandar Malaysia

Pembangunan Iskandar Malaysia akan menjadi pemangkin yang amat penting bagi ekonomi Negeri Johor dalam tahun 2009 menurut dalam ucapan bajet. Kerajaan hendaklah memastikan segala projek yang diluluskan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Pastikan komitmen Kerajaan Persekutuan sebanyak lebih RM6 billion dilaksanakan mengikut perancangan dan pelabur-pelabur mengekalkan dan menambah lagi pelaburan mereka. Dalam keadaan ekonomi yang merudum ini, kita tidak boleh ambil ringan terhadap situasi ini.

Pertanian dan Industri Asas Tani

Berkenaan dengan program pertanian dan industri asas tani bagi tahun 2009, peruntukan sebanyak RM28.145 juta sepatutnya ditambah kerana industri tanaman makanan dan ternakan sangat penting supaya kita tidak bergantung dengan negara luar. Saya sangat menyokong dengan Kempen Bumi Hijau. Rakyat sepatutnya digalakkan untuk berdikari. Tanah-tanah terbiar hendaklah diusahakan. Saya mengucapkan terima kasih kerana kerajaan telah menghidupkan semula projek sawah padi di kawasan Sungai Balang, Muar. Kita memerlukan lebih banyak kawasan sawah kerana kita kekurangan beras.

Malangnya YB Dato’ Speaker, dalam keghairahan rakyat bercucuk tanam dan bertani, makhluk perosak pula mengambil kesempatan. Jika YB Parit Yaani mengeluh tentang masalah monyet. Di Maharani pun monyet-monyet merosakkan tanaman penduduk. Walau bagaimanapun, kami mempunyai sekumpulan monyet yang bermastautin di Tanjung Ketapang, Muar yang menjadi tarikan pelancong. Kita perlu belajar daripada monyet-monyet ini. Walau bagaimanapun, masalah yang lebih besar dihadapi di DUN Maharani ialah masalah babi hutan yang juga merosakkan tanaman penduduk. Kami beritahu Jabatan Perhilitan. Terima kasih mereka datang tetapi hanya menemui tempat babi hutan berkubang kerana mereka datang tidak bertepatan dengan masa babi hutan merosakkan tanaman. Pegawai-pegawai Perhilitan ini kena kerja lebih masa untuk menangkap atau menembak makhluk ini. Saya cadangkan lesen menembak babi dikeluarkan semula untuk membantu menyelesaikan masalah ini dan menambahkan pendapatan. Selain daripada haiwan perosak ini, Jabatan Pertanian hendaklah peka tentang masalah penyakit tanaman yang menyerang pokok kelapa dan pokok pisang. Nak buat ketupat susah, nak buat tempe pun susah.

YB Dato’ Speaker,

Industri Perabot Di Parit Bakar

Untuk makluman Ahli-ahli YB, Parit Bakar dalam DUN Maharani merupakan bandar perabot yang terbesar di Malaysia-ada yang halal dan ada yang haram. Industri ini banyak membantu memacu ekonomi Negeri Johor. Walau bagaimanapun, rakyat mengeluh kerana masalah pencemaran udara. Saman dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar, tetapi tidak berkesan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan kerana di bandar ini terdapat taman perumahan di sekelilingnya Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama, dan klinik.

Laporan Bajet menyebut sebuah pusat perabot yang memang sudah lama diperlukan akan dibangunkan di kawasan Ledang. Saya ingin mencadangkan supaya ia dibina di dalam DUN Maharani kerana disini letaknya pusat industri perabot.

YB Dato’ Speaker,

Meningkatkan Hasil Cukai Tanah

Dalam meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Johor, saya menyokong penubuhan pasukan petugas khas untuk meningkatkan kutipan hasil cukai tanah oleh pentadbir tanah negeri. Anggaran pendapatan cukai tanah bagi tahun 2009 ialah RM228.80 juta. Untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Johor dari segi cukai tanah maka sebanyak 12,642 Notis 6A telah dikeluarkan (m/s 35) diikuti dengan Notis 8A. Tidak disebut jumlah hak milik tanah yang dibatalkan atau dirampas dan berapa ramai yang datang untuk membayar tunggakan.

Dalam hal ini, saya suka menyarankan agar pentadbiran pejabat tanah tidak menjadikan perampasan tanah ini sebagai kekuatan tetapi jadikan ia langkah terakhir. Sebenarnya banyak sebab dan akibat daripada kegagalan membayar cukai tanah di antaranya kematian pemilik asal dan ketidakupayaan waris-waris menyelesaikan pemilikan harta pusaka.

Menurut Amanah Raya Berhad, di seluruh Malaysia harta pusaka orang Islam yang belum dapat diselesaikan bernilai RM40 billion. Katakanlah 10% daripada jumlah itu berada di Johor yang bererti nilainya RM4 billion. Akibat kegagalan menyelesaikan harta pusaka maka terjadilah tanah terbiar, cukai tidak dibayar, tunggakan cukai menjadi tergendala dan lebih teruk lagi ialah tanah-tanah itu tidak produktif.

Sehubungan ini, saya ingin menyentuh tanah-tanah rezab Melayu yang semakin berkurangan. Kerajaan hendaklah mempertahankan tanah-tanah rezab Melayu supaya tidak terhakis.

Kami dimaklumkan (ms36) Pentadbiran Tanah akan mengeluarkan hak milik bagi tanah-tanah rezab Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan Kerajaan Negeri mengutip hasil dari segi premium tanah yang dianggarkan antara RM200-300 juta. Proses ini hendaklah dilakukan dengan telus dan adil kerana ini melibatkan harta kerajaan. Premium yang dikutip hendaklah mengikut harga pasaran. Saya ingin memberi contoh tapak Bangunan UMNO Bakri di mana premium asal ialah RM1.5 juta tetapi premium yang dibayar hanyalah RM23,240.00 sahaja (rujuk jawapan bertulis soalan YB Bentayan). Marilah kita sama-sama fikirkan kerugian yang akan dialami oleh Kerajaan Negeri jika diskaun seperti ini diamalkan.

YB Dato’ Speaker,

Membangunkan Kerohanian

Sekolah Agama Johor merupakan sistem pendidikan agama yang terbaik di negara ini. Sejak ditubuhkan pada 1918, ia telah melahirkan tokoh-tokoh Islam yang terkemuka. Saya bersyukur kerana kerajaan telah mengumumkan pembinaan 54 buah sekolah agama dalam tahun 2009 dengan kos sebanyak RM122.3 juta. Sekolah agama Kerajaan Johor ini perlu juga diperkasakan dengan mewujudkan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian agama dalam dan luar negara. Tahniah kepada guru-guru yang telah berjaya mendapat diploma tetapi saya difahamkan masih ada di antara mereka ini masih belum diserapkan ke jawatan tetap.

Saya menyokong sepenuhnya peruntukan sekolah agama kerana setelah sekian lama ditubuhkan masih ada lagi sekolah agama yang menumpang di sekolah kebangsaan. Saya menyokong permohonan YB Senggarang di mana di dalam kawasannya ada 3 buah sekolah agama yang masih menumpang. Saya juga ingin mengajukan permohonan badan kebajikan Sekolah Agama Parit Bakar, Muar yang telah menumpang di Sekolah Kebangsaan Parit Bakar Darat selama lebih 20 tahun. Tanah wakaf seluas 0.5 ekar terletak di Parit Bakar Jalan Sri Tanjung(Lot2888,no geran5820). Sekolah tempat menumpang sudah uzur, pewakafnya pun sudah terlalu uzur. Mohon disegerakan.

Dalam bidang pendidikan ini, bukan sahaja sekolah agama dibantu tetapi peruntukan kepada SJKC dan SJKT dan Sekolah Menengah Persendirian Cina juga wajib diberi. Akhbar Sun bertarikh 13 Februari 2008 melaporkan dalam bulan Disember 2007, Perdana Menteri meluluskan peruntukan khas RM10 juta untuk Sekolah-sekolah Cina seluruh negara dan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta lagi dalam bulan Februari 2008. Saya ingin tahu adakah sekolah-sekolah di Negeri Johor ini mendapat peruntukan yang sewajarnya.

Penambahan pembinaan masjid sebanyak 32 buah dengan peruntukan sebanyak RM53 juta telah diumumkan. Di dalam DUN Maharani masih ada lagi 2 buah masjid papan iaitu di Parit Bakar Darat dan Parit Pinang Seribu Darat. Pembinaan masjid Parit Bakar Darat ini sepatutnya telah dimulakan tetapi tiada tanda-tanda ia akan didirikan. Mohon dipertimbangkan.

Berhubung dengan pengurusan masjid, daripada pengamatan saya banyak masjid yang mempunyai dana yang banyak tetapi tidak digunakan. Saya cadangkan supaya dana ini digunakan untuk kebajikan ahli-ahli qariah dalam usaha membenteras kemiskinan. Jika mereka tidak mampu menguruskan, Majlis Agama Islam dicadangkan membantunya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Johor yang menyediakan khutbah Jumaat pada minggu pertama cuti persekolahan menasihatkan anak-anak supaya tidak membuang masa menonton program television-kartun, drama yang membawa cerita-cerita tahyol dan khurafat yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Tindakan seterusnya sepatutnya Majlis Agama Islam Johor member maklum balas kepada pihak Kementerian yang berkenaan untuk melakukan sesuatu di atas perkara ini.

Akhir-akhir ini kita lihat iklan-iklan TV agak menjolok mata.Perkara-perkara yang terdedah dan sulit pun ditunjukkan.Dahulu iklan pampers sahaja tetapi sekarang iklan ‘pampers’ wanita pun ada.Ini patut dihentikan

YB Dato’ Speaker,

Masalah Jalan Mendap

Masalah kerosakan jalan dalam DUN Maharani di kawasan persisiran pantai, beberapa buah jalan kampung dari Jalan Junid ke arah pantai mengalami masalah pemendapan jalan. Sebahagiannya telah diperbaiki, tetapi yang paling teruk sekali ialah Jalan Parit Sakai Laut, Jalan Junid. Perkara ini telah diadukan kepada pihak berkenaan. Sebahagian tindakan telah diambil, tetapi keadaan sekarang bertambah teruk dan membahayakan. Baru-baru ini pula pihak JPS telah menggali parit di kawasan tersebut dengan menggunakan jentolak. Jalan bertambah mendap dan pecah.Jalan dan parit ini perlu ditambak dengan batu supaya masaalah ini dapat diselesaikan dengan sempurna.Mohon perhatian pihak yang berkenaan.

Masalah Banjir

Oleh kerana global warming terutama di DUN Maharani di kawasan persisiran pantai juga di sepanjang pantai Selat Melaka, telah berlaku banjir disebabkan oleh air pasang besar berlaku. Kawasan seperti Dumpar di Jalan Junid, kawasan Parit Perupok Laut, Parit Sakai Laut Jalan Junid telah dinaiki air. Saya harap kerajaan dapat menyelesaikan bukan sahaja masalah ini setempat tetapi di persisiran pantai yang lain dapat kita pastikan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini. Contohnya menyediakan penempatan baru untuk penduduk di sini untuk mengelakkan daripada kemusnahan harta benda. Paling penting sekali apabila hujan telah mula turun, saya harapkan supaya parit-parit di kawasan bandar dan kawasan-kawasan yang rumputnya sudah tinggi terutamanya di luar bandar, JKKK dan ketua kampong dapat menguruskannya dengan kerjasama JPS supaya parit-parit dapat dibersihkan untuk mengelakkan banjir dan kerosakan tanaman. Oleh itu, rakyat tidak mengeluh dan memudahkan urusan wakil rakyat.

Bandar Muar ‘bandar pencen’?

Seperti yang kita tahu, bandar Muar dikenali sebagai bandar pencen. Untuk menarik pelancong ke Muar, saya mencadangkan agar bandar Muar dapat dibangunkan kerana kita mempunyai beberapa tarikan menarik. Contohnya, di hujung minggu kita mempunyai bot untuk menyusur di perairan Sungai Muar dan juga mempunyai tempat untuk bermain motorcross untuk anak-anak muda. Dalam pemerhatian saya, tarikan yang belum diperkenalkan ialah berkaitan dengan bangunan-bangunan lama di dalam bandar Muar yang telah didirikan dalam tahun 1920an dan 1918. Jikalau bangunan tersebut dapat dicat dan diberikan peruntukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan mungkin suatu hari nanti bandar Muar boleh dijadikan sebagai Bandar Warisan sekurang-kurangnya di peringkat negeri Johor. Secara tidak langsung ini dapat menarik pelancong singgah di bandar Muar.

PerpustakaanAwam Muar

Berkenaan dengan perpustakaan, di Muar mempunyai sebuah perpustakaan awam yang memerlukan penaiktarafan. Mungkin kita perlu memasang penghawa dingin untuk keselesaan pengguna dan yang paling penting sekali mengenai bahan-bahan bacaan. Seharusnya buku-buku tersebut mestilah relevan bukan sahaja di peringkat sekolah rendah dan menengah malahan di peringkat Tingkatan Enam,Matrikulasi dan juga di Universiti.

Akhir sekali, saya menyokong usul yang dibawa oleh YB Kempas dengan beberapa tambahan yang telah saya sampaikan. Marilah kita sama-sama berdoa agar apa yang dirancang itulah yang Allah makbulkan.

Wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

0